Selasa, 6 Disember 2016

Bola sepak jadi perhatian


 

ARKIB : 27/07/1999
ABDUL Rahman menunjukkan senarai terakhir pemain skuad kebangsaan yang akan beraksi pada Sukan SEA XX di Brunei.

SESUDAH empat temasya berakhir dengan kegagalan ke separuh akhir, Sukan SEA XX Brunei diharap menjadi pentas terbaik buat skuad bola sepak negara mempamerkan kebangkitan di rantau Asia Tenggara.

Selepas kecewa di Manila pada 1991, Singapura (1993), Chiang Mai (1995) dan Jakarta (1997), temasya kali ke-20 ini pastinya menjadi tumpuan peminat tanah air sama ada barisan baru kendalian jurulatih Abdul Rahman Ibrahim ini mampu menceriakan semula bola sepak negara.

Menebus maruah yang tercalar itu selain berusaha memecahkan kebuntuan ke separuh akhir sebelum ini terus kekal sebagai impian skuad harapan ini di Brunei.

Kenangan manis meraih pingat emas pada temasya 1989 di Kuala Lumpur sememangnya mahu diulangi tetapi Rahman mempunyai ideanya sendiri.

''Tentulah kita mahu memperbaiki rekod pencapaian bola sepak kita dalam temasya ini dan pemergian kita ke Brunei pasti diiringi harapan yang begitu tinggi.

''Sebab itu separuh akhir dijadikan sasaran utama dulu, memadai dengan persiapan pasukan yang masih dianggap ramai kurang meyakinkan.

''Bagi saya, barisan baru dan muda ini sudah bersedia untuk tugas besar itu. Mereka juga nampaknya bersemangat tinggi untuk mencatat sesuatu di sana,'' kata Rahman di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Jurulatih itu semalam mengumumkan senarai akhir barisan harapan 18 pemainnya yang bakal memikul tugas besar itu selain empat pemain yang digugurkan.

Tiga bekas pemain Olimpik 2000, Mohd. Khalid Jamlus, Tengku Hazman Raja Hassan dan M. Karunakaran mendapat kepercayaan Rahman untuk aksi di Brunei.

Seperti diduga, Azmin Azram Aziz dan V. Murugan kekal selaku pengawal gawang.

Ketiadaan Azman Adnan dan Zami Mohd. Nor memberi ruang buat Rusdi Suparman dan Azizul Kamaluddin menjana serangan sambil sedia dibantu Wan Rohaimi Wan Ismail dan Khalid.

Ketiadaan Moey Kok Hong juga tidak menimbulkan masalah bagi Rahman yang memiliki pertahanan kental B. Rajinikandh, Abdul Ghani Malek dan V. Thinagaran.

Yap Wai Loon diberi tugas selaku arkitek tengah dibantu Ahmad Shahrudin Rosdi dan Ahmad Shahrul Azhar Sofian.

Manakala empat pemain daripada 22 pelatih sebelum ini yang digugurkan ialah Idris Karim, Mohd. Imran Ahmad, Mohd. Nizaruddin Yusuf dan Bakhtiar Othman.

''Idris digugur kerana cedera manakala Imran, Nizaruddin dan Bakhtiar kurang sesuai berada dalam pasukan buat masa ini,'' kata Rahman.

Jurulatih itu mengakui barisannya itu kurang mantap kerana ketiadaan beberapa pemain yang dianggap teras pasukan.

Mereka ialah enam pemain yang beraksi menentang Arsenal Mei lalu iaitu Azman, Zami, Kong Hong, Anuar Jusoh, M. Elangoo dan Mohd. Ali Taha. Mereka diketepikan akibat kecederaan.

Begitupun Rahman berkata, Malaysia harus lebih dulu melepasi pusingan awal yang dianggap paling getir.

''Sebenarnya sukar bagi kita untuk menepati sasaran ke separuh akhir namun, saya tetap percaya dengan barisan kita ini,'' kata Rahman.

Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama naib juara temasya 1997, Indonesia, Singapura, Kemboja dan Brunei dan akan menentang juara Piala Tiger tahun lalu, Singapura, pada perlawanan pertama Sabtu ini. Skuad negara akan berlepas ke Brunei, malam esok.

Oleh: JOHARI SHAWAL

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S43Eve5W © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan