Isnin, 5 Disember 2016

AFC kecam penyokong Nepal

ARKIB : 22/06/1999
KETUA pasukan bola sepak Nepal, Sunil Tuladhar (5) cuba menghalang penyokong mereka daripada terus menyerang pemain Malaysia sewaktu perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2000 di Stadium Hong Kong, kelmarin. Perlawanan itu dibatalkan apabila berpuluh-puluh penyokong Nepal menyerbu masuk ke padang sebaik Nepal menyamakan kedudukan 1-1 pada minit-minit akhir. - Gambar Reuters.

GABUNGAN Bola Sepak Asia (AFC) semalam mengecam tindakan liar penyokong Nepal menyerang pemain dan pegawai skuad negara dalam perlawanan pusingan kelayakan Olimpik 2000 di Hong Kong, kelmarin.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Peter Velappan dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam berkata, badan bola sepak Asia itu amat kecewa dan kesal dengan keganasan yang ditimbulkan kira-kira 200 penyokong Nepal ketika perlawanan terikat 1-1.

''Kami amat terkejut dengan serangan itu dan hanya mampu berharap pemain Malaysia yang cedera dapat kembali beraksi pada perlawanan pusingan kedua di Tokyo nanti,'' katanya.

Dalam kenyataan tersebut, Velappan turut menyatakan rasa kecewa terhadap tahap keselamatan Stadium Hong Kong yang rendah.

''Tahap keselamatan di Stadium Hong Kong tidak mencapai apa yang dijangkakan dan Persatuan Bola Sepak Hong Kong (HKFA) serta penganjur perlu bertanggungjawab sepenuhnya,'' katanya lagi.

Dalam insiden kelmarin, kira-kira 200 penyokong Nepal menyerbu ke dalam padang untuk meraikan gol penyamaan pasukan mereka dua minit sebelum permainan tamat, selepas Malaysia mendahului pada minit ke-75.

Bagaimanapun pesta tersebut bertukar menjadi liar apabila penyokong Nepal, yang dikhuatiri mengambil alkohol dan mabuk telah bertindak menyerang pemain dan pegawai skuad negara.

Pegawai keselamatan dan kira-kira 20 anggota polis yang bertugas hanya membiarkan saja gelagat liar peminat Nepal itu dan akibatnya, penjaring gol Malaysia, Rafdi Rashid, penjaga gol Sani Fahmi dan Megat Amir Faisal serta jurulatih Mandiaty Fall dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan di bahagian dada.

Menurut Velappan, AFC sedang mengkaji laporan pesuruhjaya perlawanan, pengadil dan penyelia pengadil sebelum mengambil sebarang keputusan terhadap perlawanan itu.

''Kami akan berbincang dengan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) tentang keputusan yang wajar mengenai kesudahan perlawanan serta insiden yang berlaku.''

Perlawanan Malaysia dan Nepal masih tergantung pada kedudukan 1-1 dan AFC akan memutuskan sama ada keputusan itu kekal atau perlawanan ulangan diperlukan.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) turut mengeluarkan kenyataan di Kuala Lumpur semalam sambil menuntut kerajaan Nepal memohon maaf kepada Malaysia atas kelakukan buruk penyokong mereka.

Pengerusi Biro Antarabangsa PGRM, Pritpal Singh Sidhu berkata, kerajaan Nepal harus mengambil tindakan sewajarnya ke atas penyokong terbabit.

Pritpal dalam kenyataannya itu turut menuntut AFC menggantung pasukan Nepal serta mengenakan hukuman yang wajar kepada HKFA supaya insiden yang sama tidak akan berulang.

Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RwsF6R5v © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan