WARTAWAN SINAR HARIAN
3 DISEMBER 2016
Filipina medan ujian
JURULATIH skuad bawah 22 tahun
negara (B-22), Frank Bernhardt, tetap menganggap Filipina sebagai medan ujian
untuk mempersiapkan diri menghadapi temasya Sukan Sea Kuala Lumpur, tahun
depan.
Skuad B-22 terbang ke Manila
pada 8 Disember ini, bagi mengulangi aksi persahabatan di Paroi pada Mac lalu
yang menyaksikan Malaysia menang dengan jaringan 4-1.
Pasukan kendalian jurulatih
dari Jerman itu, pada asalnya dijadual bertemu Myanmar B-22 pada 9 dan 12
Disember ini.
Namun, perlawanan itu
dibatalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Keputusan (membatalkan
perlawanan persahabatan) sungguh mengecewakan. Sukar untuk mendapatkan satu
pasukan, jadi kami cuba dengan beberapa pasukan cuma Filipina yang sedia untuk
bermain...ia bukan keputusan saya tetapi keputusan pihak yang lebih tinggi daripada
FAM.
"Tetapi satu perlawanan
antarabangsa adalah lebih baik daripada tiada langsung atau bermain dengan
pasukan kelab dan kelab pun sedang melakukan persiapan untuk musim akan
datang,” katanya.
"Filipina mungkin tidak
sekuat Myanmar tetapi mereka telah melakukan banyak perubahan dan mempunyai
pemain baru kali ini. Jadi adalah mencabar buat kami dalam perlawanan ini
nanti,” kata Bernhardt.
PERLU WASPADA
MENGULAS mengenai persediaan
Sukan Sea, Bernhardt yang menyedari kebangkitan pasukan seperti Myammar dan
Kemboja yang menyerlah dalam Piala AFF, percaya anak buahnya cukup kuat untuk
berhadapan cabaran itu.
"Pasukan Myanmar sudah
pastinya bagus...dalam perlawanan pertama Piala AFF mereka telah menurunkan
tujuh pemain B-22 mereka dalam kesebelasan utama.
"Saya pasti mereka akan
kuat di Sukan Sea nanti.
"Saya juga telah bercakap
dengan Pengarah Teknikal Vietnam, mereka akan menghentikan liga mereka selama
empat bulan untuk persiapan Sukan Sea.
“Kami juga mempunyai satu
pasukan yang bagus dan masih mempunyai masa untuk membangunkannya tetapi negara
lain datang dengan pasukan yang lebih kuat, ia bukan mudah bagi kita
melaluinya...kami terpaksa bekerja keras untuk segalanya,” katanya.
Selepas perlawanan persahabatan
dengan Filipina, pemain akan kembali kepada kelab masing-masing dan jika
mengikut kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), setiap pemain
hanya mempunyai waktu rehat selama seminggu masing-masing dalam Mac dan Jun
tahun depan.
“Kami mungkin mengambil
bahagian dalam kejohanan di Timur Tengah dalam Mac dan mengendalikan latihan
berpusat dari penghujung April ke Mei...itu kami bincangkan tetapi saya masih
belum membuat keputusan. Sama ada kelab akan membenarkan pemain mereka
menyertai atau tidak, itu perkara lain,” katanya.
Dengan hanya tinggal 258 hari
sahaja lagi untuk Sukan Sea, tibalah masanya buat badan pentadbir bola sepak
negara menyediakan program yang jelas untuk skuad ini, bagi mengelakkan
daripada dimalukan di tempat sendiri
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 3
DISEMBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan