Ahad, 4 Disember 2016

FAM perlu kaji setiap kelemaham skuad negara

ARKIB : 17/06/1999
HONG KONG - Kegagalan skuad Olimpik 2000 negara untuk sekurang-kurangnya memberi tentangan sengit kepada Jepun memaksa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji semula setiap cadangan yang dikemukakan dalam seminar bola sepak di Shah Alam baru-baru ini.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberitahu, ini kerana ada di antara cadangan dikemukakan boleh membantu masa depan skuad bola sepak negara yang semakin ketinggalan.

''Setakat ini, tumpuan kita bukannya Piala Dunia tetapi sekurang-kurangnya menjadi skuad terbaik di Asia Tenggara,'' kata beliau selepas menyaksikan Malaysia tewas 0-4 kepada Jepun dalam kejohanan pusingan pertama kelayakan Olimpik 2000 kumpulan enam (Zon Asia), di sini semalam.

Sambil menyifatkan kekalahan Malaysia kepada Jepun sebagai ''bencana,'' Tengku Abdullah yang juga pengurus skuad Olimpik 2000 negara jelas tidak begitu gembira dengan pencapaian itu.

Menurut beliau, pemain seharusnya menyaksikan ''video'' bagaimana mereka beraksi sehingga gagal untuk memberikan tentangan kepada Jepun.

''Pemain kita seharusnya melihat sendiri menerusi 'video' bagaimana persembahan mereka ketika menentang Jepun,'' kata beliau.

Beliau menjelaskan, pemain masih mempunyai masa depan yang baik tetapi belum diketahui di mana kedudukan sebenar mereka selepas ini

''Secara keseluruhannya, biarlah kejohanan ini (kelayakan) tamat terlebih dahulu, kemudian baru saya akan memberikan ulasan mengenai persembahan skuad Olimpik 2000 negara.

''Apa yang penting sekarang, pemain meneruskan perlawanan sehingga berakhir kejohanan ini untuk sekurang-kurangnya memperbaikki kelemahan yang ada,'' kata beliau.

Malaysia yang sebelum ini seri 2-2 dengan Hong Kong akan menghadapi Filipina esok dan menutup tirai pusingan pertama dengan menentang Nepal pada Ahad ini sebelum ke Tokyo untuk meneruskan pusingan kedua yang bermula 26 Julai ini.

Bagaimanapun, kata Tengku Abdullah, beliau mengakui bahawa keadaan fizikal pemain di samping budaya penyokong Jepun yang sanggup mengikuti ke mana sahaja pasukan mereka beraksi turut menyumbang ke arah pembangunan bola sepak negara tersebut.

Beliau berkata, skuad negara ketinggalan jauh berbanding Jepun dan sudah sampai masanya untuk FAM menilai kembali setiap kelemahan dengan menjadikan Jepun sebagai contoh terbaik.

''Kita sekarang melihat ke Timur sebagai contoh, FAM akan menghantar anggota kumpulan kajian teknikal ke Jepun untuk mendalami aspek pembangunan bola sepak,'' tambah beliau. - Utusan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RsqcTMfE © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan