ARKIB : 09/03/2000
SKUAD bola sepak kebangsaan
tewas buat kali kedua dalam siri lawatan ke Australia, kali ini kepada kelab
Parramatta Power FC di Sydney kelmarin tetapi persembahan pemain menerima
pujian tinggi jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim.
Biarpun tewas 2-1, Rahman
gembira dengan anak buahnya yang beraksi penuh komitmen sehingga berjaya
mengejutkan pasukan lawan dengan gol pembukaan menerusi ketua pasukan, Zami
Mohd. Noor sebelum Parramatta menyamakan kedudukan dan menggandakan jaringan
mereka pada babak kedua.
''Pemain bermain amat baik dan
dengan komitmen tinggi. Selepas perlawanan pertama sebelum ini (menentang
Northern Spirit), kami menerapkan corak permainan menyerang walaupun pasukan
lawan kerap menekan barisan pertahanan kami.
''Tetapi ketika itulah dalam
satu serangan balas yang pantas, Zami berjaya jaringkan gol,'' kata Rahman
ketika dihubungi di Sydney, semalam.
Pasukan kebangsaan, yang sedang
membuat lawatan ke negara Kanggaru itu untuk tiga perlawanan persahabatan
sebagai persiapan kelayakan Piala Asia bulan ini, mengejutkan Parramatta dengan
jaringan Zami tetapi pasukan lawan pantas menyamakan kedudukan 10 minit
kemudian.
Perlawanan di Stadium Melita,
Sydney itu dilangsungkan dalam keadaan hujan dan Parramatta memperoleh gol
kemenangan pada babak kedua.
''Separuh masa kedua lebih sengit
dengan kedua-dua pasukan bermain lebih hebat. Kita dapat menyaingi mereka dari
segala segi termasuk ketangkasan dan komitmen.
''Secara keseluruhannya, saya
gembira dengan persembahan pemain. Mereka bermain dengan penuh kesungguhan dan
saling bantu membantu antara satu sama lain.
''Saya harap mereka dapat
kekalkan atau tingkatkan lagi aksi sebegini dalam pasukan,'' kata Rahman.
Malaysia sebelum ini tewas 3-1
pada perlawanan pertama menentang Northern Spirit FC, Ahad lalu. Mereka akan
beraksi pada perlawanan terakhir menentang Canberra Cosmos di Canberra, hari
ini sebelum kembali ke Malaysia, Sabtu ini.
Malaysia diletakkan dalam kumpulan
8 kelayakan Piala Asia bersama Thailand, Korea Utara dan Taiwan. Pusingan
pertama di Kuala Lumpur pada 25-29 Mac dan pusingan kedua di Bangkok pada 4-8
April.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4T63N2KqL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan