Bakri Ibni
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas pemain
kebangsaan, Bakri Ibni mendesak empat pertahanan Harimau Malaysia - Ronny
Harun, Fadhli Shas, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Matthew Davies -
digugurkan susulan kekalahan memalukan 0-3 di tangan Indonesia pada aksi
persahabatan di Stadium Manahan, Solo, kelmarin.
Jelas Olimpian itu, kesilapan
budak sekolah dilakukan barisan pertahanan negara itu tidak boleh dimaafkan
kerana tiga situasi jaringan lawan itu berpunca daripada kelemahan teknikal
asas.
“Gol pertama dan kedua berpunca
daripada pemain yang gagal mengeluarkan bola dengan baik serta sentuhan pertama
yang mengecewakan.
“Ini kesilapan individu yang
tidak patut berlaku dalam kalangan pemain terutama di pentas antarabangsa. Jika
asas tidak betul, jadi bahagian pertahanan itu mesti dirombak dan digantikan
dengan pemain lain.
“Sekiranya jurulatih (Datuk Ong
Kim Swee) tidak membuat perubahan segera, saya tidak nampak kita mampu memberi
tentangan dalam Piala AFF dan mungkin Malaysia boleh jadi pasukan belasahan,”
katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
Gesaan Bakri itu ada benarnya
apabila skuad Garuda hanya memerlukan tujuh minit untuk berada di depan
menerusi jaringan ketua pasukan Boaz Solossa selepas kesilapan Fadhli yang
gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Kerapuhan benteng negara terus
dirobek empat minit kemudian apabila Irfan Bachdim tenang menyempurnakan
hantaran Boaz sebelum ketua pasukan tuan rumah itu sekali lagi menghukum
kealpaan benteng untuk meledak gol ketiga pada minit ke-21.
“Pemain seperti tidak
berkomunikasi di atas padang dan nampak jelas tiadanya persefahaman antara
empat pertahanan itu.
“Banyak kerja yang perlu dibuat
Kim Swee dengan pertama, menilai semula aksi bahagian bawah pasukan,” katanya.
Menurut Bakri, beliau turut
menasihatkan kem negara supaya mengkaji kekuatan dan kelemahan pasukan lain
yang akan dihadapi pada saingan Piala AFF nanti.
“Jangan fikir pasal persiapan
kita semata-mata, tapi Kim Swee juga mesti buat kerja rumah mengkaji pasukan
lawan. Kalau tidak jangan terkejut keputusan kalah kepada Indonesia boleh
berulang di Myanmar nanti,” katanya.
Pada kempen Piala AFF November
ini, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama pasukan tuan rumah Myanmar,
Vietnam dan juara pusingan kelayakan yang akan diketahui pada awal bulan depan
sama ada Brunei, Laos, Timor Leste atau Kemboja.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Khamis, 8 September 2016 @ 8:33 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan