Ahad, 4 Disember 2016

Maruah terselamat

ARKIB : 15/06/1999
MOHD. KHALID JAMLUS
 HONG KONG - Tempoh saingan berbaki tiga minit mengembalikan maruah Malaysia daripada dimalukan Hong Kong sekali pun terpaksa berhempas pulas untuk mencipta keputusan seri 2-2 dalam kejohanan pusingan pertama bola sepak kelayakan Sukan Olimpik 2000 kumpulan enam Asia di Stadium Hong Kong, semalam.

Walaupun diberi saingan hebat tuan rumah yang mendahului 2-0, Malaysia tetap mempamerkan semangat juang begitu tinggi untuk mencari jaringan penyamaan.

Malaysia dikejutkan jaringan Yiu Hok Man seawal minit pertama sebelum Tam Wai Kwok menambah gol pada minit ke-71 untuk Hong Kong mendahului 2-0.

Gilbert Cassidy Gawing menjadi wira negara apabila memperoleh jaringan yang dicari-cari Malaysia pada minit ke-87 selepas rakannya Akmal Rizal Ahmad Rakhli merapatkan jurang menerusi gol minit ke-72.

Skuad negara memulakan sepakan dengan percubaan untuk mengancam Hong Kong sebalik sepakan percuma Chu Siu Kei dari jarak 25 meter menyaksikan pertahanan Malaysia yang longgar memberi peluang kepada Yiu Hok Man membuat tandukan mengatasi penjaga gol Jamsari Sabian untuk jaringan pembuka tirai Hong Kong.

Ketinggalan satu jaringan memaksa Malaysia untuk bangkit tetapi setiap gerakan penyerang Muhammad Khalid Jamlus dan Akmal Rizal gagal mencemaskan pertahanan skuad lawan.

Akhirnya Malaysia memperoleh kesempatan apabila Gilbert membuat satu sepakan percuma yang melencong ke depan pintu gawang Hong Kong namun Akmal Rizal gagal menyudahkannya pada minit ke-34.

Ketinggalan satu jaringan kepada babak pertama menyaksikan Malaysia mengatur gerakan lebih tersusun di babak kedua.

Bagaimanapun kelekaan membawa padah apabila dalam usaha menyekat serangan balas Hong Kong menyebabkan Khairun Haled Masrom menarik ketua pasukan lawan, Kwok Man Tik.

Sepakan percuma yang diberikan pengadil Piromya Chalach (Thailand) di luar kotak penalti Malaysia menyaksikan sepakan Tam Wai Kwok melencong masuk ke penjuru gawang yang gagal dijangkau Jamsari untuk Hong Kong mendahului 2-0.

Namun, gerakan balas Malaysia menerusi hantaran Gilbert ditanduk Khalid untuk melorongkan bola kepada Akmal Rizal yang terus menyepak masuk bagi merapatkan jurang seminit kemudian.

Gol tersebut memberi semula keyakinan kepada Malaysia untuk terus mengasak yang akhirnya memperolehi peluang apabila rembatan kencang Gilbert dari luar kota penalti Hong Kong mengecewakan penjaga gawang Chan Ka Ki pada minit ke-87 sebelum permainan berakhir dengan kedudukan terikat 2-2.

Kejayaan Malaysia mengekang Hong Kong sekurang-kurangnya mampu menambah semangat kepada anak-anak buah jurulatih Hatem Souissi yang bakal berdepan tentangan lebih sengit iaitu Jepun, esok.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RsbhX7Xe © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan