Ahad, 25 Disember 2016

TMJ serah kepada KJ

 
Tunku Ismail serah pemacu pena kepada Khairy. FOTO Johor Southern Tigers

BERNAMA
Kuala Lumpur: Pemacu pena yang didakwa mengandungi pelbagai maklumat mengenai ketirisan dan salah laku Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini berada di tangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sebelum ini menyimpan pemacu pena itu, menyerahkannya kepada Khairy ketika menerima kunjungan menteri tersebut di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor dalam entri terkini dalam laman Facebook Johor Southern Tigers, berkata beliau memutuskan untuk menyerahkan pemacu pena itu kerana tidak mahu mempunyai sebarang masalah dengan FAM.


Menurutnya FAM bukan masalahnya, sekaligus mahu menumpukan perhatian kepada kelab kecilnya, JDT.

Selain itu, dalam pertemuan dengan Khairy, antara topik yang dibincangkan mereka adalah berkaitan program pembangunan belia dan berkongsi pendapat mengenai isu semasa terutama melibatkan sukan bola sepak.

Tunku Ismail sebelum ini pernah mendedahkan memiliki pemacu pena yang di dalamnya terkandung aktiviti dalaman FAM termasuk ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Beliau berkata pemacu pena itu diperoleh menerusi sahabatnya yang berkedudukan tinggi di Kuala Lumpur.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 4:45 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan