ARKIB : 05/08/1999
PEMAIN negara, Rusdi Suparman
(no.9) rebah selepas dibentes oleh pemain pertahanan Kemboja, Choun Maline pada
perlawanan bola sepak kumpulan B Sukan SEA XX Brunei, semalam. Malaysia menang
7-2.
MALAYSIA seperti melepas geram
sesudah diaibkan Indonesia kelmarin apabila membelasah Kemboja yang bermain
sembilan orang, 7-2 pada perlawanan kumpulan B, bola sepak Sukan SEA XX Brunei
di Stadium Balapan dan Padang, semalam, lapor JOHARI SHAWAL.
Namun, kemenangan besar itu
tidak membawa makna apabila Singapura turut menang 3-1 ke atas Brunei pada satu
lagi perlawanan kumpulan B di Kompleks Sukan Berakas.
Kejayaan Singapura menutup
terus pintu skuad negara ke separuh akhir.
Malaysia hanya akan beraksi
pada perlawanan terakhir menentang Brunei esok sebagai pelengkap jadual selain
misi membersihkan imej.
Pemain tengah, Ahmad Shahrul
Azhar menjaringkan hatrik manakala penyerang Wan Rohaimi Ismail dan Rusdi
Suparman masing-masing menyumbangkan dua gol untuk Malaysia mencatat kemenangan
sulung dalam temasya edisi ke-20 ini.
Begitupun, kemenangan besar
sekalipun masih memperlihatkan kepincangan barisan pertahanan negara yang
memboloskan dua gol mudah.
Ketika skuad negara mendahului
2-0 seawal minit pertama dan kelapan menerusi Wan Rohaimi dan Ahmad Shahrul,
barisan pertahanan masih leka apabila Kemboja membuat kejutan.
V. Murugan yang diturunkan
mengawal gawang kali ini tidak mampu mengekang jaringan Hok Sochentra minit
ke-17 dan Chan Arunreath (36), mujur Ahmad Shahrul mematikan rentak Kemboja
dengan jaringan ketiga sebelum tamat babak pertama.
Ternyata corak permainan skuad
negara masih sama dengan pertemuan dengan Indonesia kelmarin cuma Kemboja gagal
memberikan saingan setelah kehilangan dua pemainnya yang dilayangkan kad merah
pada babak kedua.
Malaysia sepatutnya mendapat
jaringan lebih besar tetapi pemain kelihatan tidak berminat. Banyak peluang
disia-siakan di depang gol dan Wan Rohaimi - yang berpeluang mencatat hatrik sesudah
gol kedua peribadinya minit ke-71 dan kelima Malaysia - menyepak tinggi bola
sepakan penalti yang dihadiahkan pada minit ke-85.
Sebelum itu, Rusdi yang masuk
menggantikan Ahmad Shahruddin Rosdi pada minit ke-65, bagaimanapun lebih
bernasib baik apabila sentuhan pertamanya apabila menguis masuk bola umpanan
silang Syamsul Amri Abu Bakar.
Sesudah gol kelima Malaysia
hasil jaringan Wan Rohaimi, Rusdi sekali lagi menemui sentuhan dengan rembatan
leret untuk gol kedua minit ke-81 dan keenam Malaysia.
Ahmad Shahrul, yang mendapat
pujian Abdul Rahman Ibrahim atas aksi bagusnya sepanjang perlawanan itu,
menjaringkan gol ketujuh seminit sebelum tamat perlawanan. - Utusan
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S4TepTQ1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan