Khamis, 8 Disember 2016

Majlis FAM bincang isu presiden

ARKIB : 12/09/1999
SULTAN Ahmad Shah pernah menyuarakan kesediaan untuk berundur daripada jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang disandangnya selama 15 tahun jika ada kelulusan anggota majlis.

Sukan SEA XX Brunei, bulan lalu telah merakamkan janji Sultan Ahmad itu dan mesyuarat majlis FAM hari ini pasti menjadi pentas terbaik untuk beliau mengotakannya.

Semua ini gara-gara persembahan buruk skuad negara sepanjang temasya dwitahunan itu yang mencipta kegagalan ke separuh akhir kali kelima berturut-turut sejak 1991.

Dan keputusan kini berada di tangan semua anggota majlis FAM sama ada mahu mengekalkan pucuk pimpinan atau sebaliknya.

Ini perlu dibuat tanpa melupakan rekod silam yang masih di takuk lama dan memandang jauh masa depan bola sepak negara yang bakal memasuki alaf baru.

Mesyuarat majlis kali kedua dalam tempoh sebulan ini, turut dijangka membincangkan laporan persembahan pasukan kebangsaan pada Sukan SEA oleh ketua jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim.

Dengan prestasi pasukan turut berada dalam pemerhatian suruhanjaya bebas siasatan yang baru dibentuk Selasa lalu, majlis FAM bagaimanapun dijangka tidak banyak menyentuh isu itu kecuali secara am.

Pelantikan seseorang yang dipanggil 'supremo' yang mencontohi sistem pengurusan pasukan di Eropah muncul selepas terciptanya aib di Brunei merupakan satu lagi agenda penting mesyuarat.

Adanya supremo yang merangkumi dua tugas serentak - jurulatih dan pengurus, akan bermakna tiada lagi ahli majlis terlibat dalam skuad negara tetapi ia tampak belum relevan dalam tempoh terdekat.

Khidmat Rahman dilihat masih perlu sekurang-kurangnya menjelang kelayakan Piala Asia 2000 namun kedudukan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Omar selaku pengurus pasukan, mungkin 'terusik' ketika majlis membincangkan pelantikan supremo itu.

Ketika Bengkel Seminar Bola Sepak Kebangsaan di Bukit Jalil, bulan lalu, Raja Ahmad seperti kurang selesa dengan ura-ura untuk membawa masuk supremo apatah lagi kegagalan di Brunei, pernah dikaitkan dengan komitmennya sebagai pengurus pasukan.

Lebih 140 cadangan dikemukakan pada bengkel tersebut dengan lima tajuk besarnya meliputi soal pembangunan belia, jurulatih, pertandingan, kemudahan dan persediaan pasukan.

Di tangan jawatankuasa eksekutif (Exco) FAM pada 30 Ogos lalu, jumlah cadangan ini sudahpun dikecilkan dan kini menjadi tanggungjawab majlis pula menapis yang mana kaca dan yang mana intan.

Turut bakal dibincangkan majlis FAM termasuk kedudukan bekas jurulatih Olimpik 2000, Hatem Souissi dan laporan pencapaian skuad Pelapis Negara yang dibimbing oleh Ronald Smith pada Kejohanan Piala Kemerdekaan Bangladesh, baru-baru ini.

Pada mesyuarat majlis 1 Ogos lalu, soal Hatem tidak dibincangkan panjang lebar tetapi khidmat jurulatih dari Tunisia itu dianggap masih diperlukan oleh FAM yang berhasrat mengubah bidang tugasnya selepas ini. Hatem masih mempunyai kontrak sehingga Disember ini.

Sementara Smith yang gagal pada misi pertamanya di Dhaka, dijangka masih mendapat restu FAM untuk terus menggilap anak buahnya itu dengan lebih banyak pendedahan antarabangsa dalam projek jangka panjang Gemilang 2001.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SFtiA53i © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan