Selasa, 6 Disember 2016

12 pasukan beraksi dalam Perdana Satu

ARKIB : 02/08/1999
LIGA Perdana musim depan menyaksikan pertambahan dua pasukan dalam Perdana Satu, menjadikannya 12 - berbanding 10 pada musim ini.

Manakala Perdana Dua musim depan masih mengekalkan persaingan 10 pasukan sebagaimana musim ini, menurut keputusan mesyuarat majlis Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, keputusan itu dicapai memandangkan pertandingan penentuan (play-off) ke Piala Malaysia, akan berlangsung pada 21 Ogos.

''Empat pasukan teratas menerusi play-off tahun ini akan diserapkan sebagai anggota Perdana Satu musim depan.

''Pertambahan ini juga bermakna lebih banyak pasukan kelab daripada Piala FAM akan menyertai persaingan Perdana Dua musim depan,'' kata Tengku Abdullah.

Empat tempat ke Piala Malaysia musim ini bakal ditentukan menerusi persaingan lapan pasukan _ Kelantan, Perlis, Kedah dan Brunei dalam kumpulan A di samping Perak, Melaka, Terengganu dan Johor FC yang menganggotai kumpulan B.

Lapan pasukan yang sudahpun layak ke Piala Malaysia menerusi saingan Perdana Satu dan Dua musim ini ialah Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Sarawak, Sabah, Johor dan Selangor.

Aksi Liga Malaysia berehat selama dua bulan kerana memberi peluang kepada pemain skuad negara menumpukan perhatian terhadap Sukan SEA XX Brunei, ketika ini.

Bagaimanapun, berita baik buat beberapa pasukan yang terlibat ialah keputusan majlis FAM semalam untuk turut membenarkan pemain Olimpik 2000 kembali mewakili negeri masing-masing pada Piala Malaysia.

Menurut Tengku Abdullah, perubahan format Liga Perdana adalah untuk memastikan pasukan negeri sentiasa mengekalkan persembahan terbaik mereka agar tidak mudah dipintas oleh lawan bertaraf kelab.

Bagaimanapun, format penentuan sepakan penalti bagi perlawanan yang berkesudahan seri selepas 90 minit masa permainan sebenar, masih lagi menjadi pegangan FAM sekurang-kurangnya bagi musim ini.

''Penentuan penalti hanya akan dikaji semula selepas Piala Malaysia tahun ini,'' katanya selepas mesyuarat di Wisma FAM, Kelana Jaya itu.

Begitu juga kenaikan dan penurunan pasukan dari Perdana Satu dan Dua, dikekalkan oleh FAM untuk mendorong lebih banyak pasukan menjadi yang terbaik hasil daya saing yang tinggi.

Sementara itu, FAM turut mengekalkan 8.45 malam bagi permulaan semua perlawanan kerana mengambil kira waktu sembahyang fardu maghrib dan isyak.

''Dalam pada itu, dua pengadil akan digunakan dalam perlawanan play-off dan Piala Malaysia musim ini sebagai eksperimen yang bakal dikemukakan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4S4KYWVXP © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan