Khamis, 15 Disember 2016

Pasukan kebangsaan bukan hingusan - Ahmad Basri

ARKIB : 23/02/2000
KEJAYAAN membelasah Kedah 4-0 dalam perlawanan persahabatan kelmarin membuktikan pasukan kebangsaan tidak lagi boleh dianggap sebagai pasukan hingusan yang mudah dipersendakan oleh pasukan lain, lapor YUSRI SAHAT.

Ia dinyatakan sendiri oleh pengurus Kedah, Datuk Paduka Ahmad Basri Akil yang memuji persembahan cemerlang anak-anak buah Abdul Rahman Ibrahim yang berjaya menjinakkan Kedah di Alor Setar dalam perlawanan kelmarin.

Beliau menyifatkan persembahan pasukan kebangsaan yang rata-ratanya dibarisi pemain muda malam semalam merupakan yang terbaik yang pernah ditampilkan berbanding beberapa pertemuan persahabatan sebelum ini.

''Para pemain kebangsaan telah mula menunjukkan keserasian di antara satu dengan lain apabila setiap peluang berjaya dimanfaatkan dengan baik.

''Jika prestasi ini dikekalkan, saya yakin pasukan kebangsaan mampu memberi saingan kepada pasukan negara lain dalam pusingan kelayakan Piala Asia nanti,'' katanya di Alor Setar, semalam.

Dalam perlawanan itu, skuad Hijau Kuning jelas bukan tandingan pasukan kebangsaan yang menampilkan permainan secara agresif.

Pasukan kebangsaan berjaya memporak-perandakan pasukan Kedah sehingga kesebelasan pemain Kenari hilang tumpuan sejak awal permainan sehingga tiupan wisel penamat.

Shahrul Azhar menjadi wira apabila menjaringkan dua gol pada minit keempat dan 40, manakala dua gol lagi disumbangkan oleh Zami Mohd. Noor (14) dan Anuar Jusoh (58).

Kedah yang turut dibarisi oleh beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Yap Wai Loon dan Che Zambil Ahmad kelihatan tidak mampu menahan asakan bertali arus pasukan kebangsaan yang rata-ratanya pemain muda.

Dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini, pasukan kebangsaan berjaya menewaskan Perlis 3-1, dan menewaskan Maldives dengan agregat 5-0.

Mengulas kekalahan Kedah pada perlawanan persahabatan itu, Ahmad Basri memberitahu, pertemuan itu menyerlahkan kelemahan yang begitu ketara terutama di beberapa bahagian tertentu.

Beliau yang tidak kecewa dengan kekalahan itu berkata, perlawanan persahabatan itu memang milik pasukan kebangsaan yang mahu membuktikan mereka bukan pasukan belasahan.

''Hasil daripada perlawanan ini, kita telah mengenal pasti kelemahan terutama di bahagian pertahanan yang masih goyah apabila mengalami asakan,'' jelasnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya rasa tertekan yang menyebabkan Kedah gagal mengatur strategi apabila bertemu dengan pasukan kebangsaan.

Tambahnya, Kedah merancang untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan beberapa kelab di negara ini sebagai persediaan menghadapi Liga Perdana bulan depan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SxEPs0wZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan