Isnin, 5 Disember 2016

FAM akan buat bantahan

ARKIB : 23/06/1999
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menghantar bantahan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung insiden pemain negara diserang penonton Nepal pada perlawanan kelayakan Olimpik di Hong Kong, lapor YUSWANDI MAJID.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menegaskan, bantahan dibuat kerana FAM merasakan pasukan negara seolah-olah 'dirompak' di mana Malaysia diyakini boleh memenangi perlawanan menentang Nepal itu.

Beliau yang merasa duka cita atas insiden itu turut berharap FIFA membuat siasatan dan mengambil tindakan yang tepat.

''Saya rasa kejadian itu boleh dibendung jika semua pihak khususnya FIFA memberi tumpuan terhadap soal keselamatan kerana aspek ini sentiasa menjadi keutamaan dalam mana-mana kejohanan anjurannya,'' katanya.

Beliau berkata, semasa Malaysia menganjur Piala Dunia Belia aspek keselamatan adalah antara yang diberikan perhatian serius.

Justeru, katanya, tindakan sewajarnya perlu diambil berhubung insiden berkenaan yang jelas berpunca daripada kelalaian tuan rumah mempertingkatkan keselamatan.

Beliau berkata, kejadian itu amat-amat dikesalkan kerana ia boleh menyebabkan kematian pemain negara ekoran serangan liar penyokong Nepal.

''Saya rasa amat dukacita dan sedih dengan kejadian itu dan perkara itu seharusnya tidak berlaku di kejohanan kedua terbesar di dunia selepas Piala Dunia itu,'' katanya ketika ditemui di Istana Abu Bakar, Pekan semalam.

Tengku Abdullah berkata, FIFA mempunyai tiga alternatif untuk menangani isu itu iaitu perlawanan semula atau memberikan tiga mata kepada pasukan negara.

''Namun sekiranya keputusan perlawanan itu mahu dikekalkan, pihak terbabit yang dirasakan bersalah perlu dihukum,'' katanya.

Selain itu beliau juga kesal dengan laporan media Hong Kong yang memberikan gambaran tepat kejadian itu.

Tengku Abdulah menegaskan, FAM akan tetap mempertahankan pemain negara kerana jelas kejadian itu bukan berpunca daripada mereka.

Beliau berkata, pada perlawanan berkenaan pemain negara sememangnya bersemangat dan mempunyai peluang untuk menang dalam masa kira-kira lima minit lagi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0623&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Rx221EcZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan