Selasa, 6 Disember 2016

Syarat saya letak jawatan


 

ARKIB : 07/08/1999
SULTAN Ahmad Shah (kanan) bertemu para pemain skuad kebangsaan dan jurulatih selepas perlawanan terakhir kumpulan B menentang tuan rumah, Brunei pada Sukan SEA XX di Stadium Barakas, semalam. Malaysia menang 2-0.

SESUDAH Tengku Abdullah menyatakan kesediaannya untuk meletakkan jawatan akibat kekalahan aib Malaysia pada Sukan SEA XX Brunei, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah pula membayangkan hasrat yang sama tetapi dengan bersyarat.

Pada Rabu lalu, Tengku Abdullah sedia berundur daripada jawatannya sebagai Timbalan Presiden FAM tetapi Sultan Ahmad berkata semalam bahawa beliau hanya akan berbuat begitu sekiranya mendapat keizinan majlis badan induk bola sepak negara itu.

''Saya dipilih oleh majlis. Jika majlis tidak mahu saya lagi, saya akan berundur.

''Presiden datang dan pergi. Semuanya terserah jika majlis yang mahu membuat keputusan sebegitu,'' kata Sultan Ahmad.

Beliau bagaimanapun bertegas untuk tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan pihak luar sama ada media massa atau orang ramai yang berulang kali mendesaknya agar meletakkan jawatan.

''Saya tidak akan membiarkan diri tertekan dengan kecaman. Selagi saya bergelar presiden, saya akan beri yang terbaik,'' katanya.

Sultan Ahmad turut mengulangi pendiriannya akan terus berjuang selagi daya dan tidak sesekali akan mengalah.

''Saya bukan diktator. Amalan demokrasi masih wujud dalam FAM,'' katanya selepas menyaksikan skuad negara menewaskan Brunei 2-0 pada perlawanan terakhirnya dalam kumpulan B di Stadium Berakas.

Mengenai kegagalan Malaysia untuk mencapai sasaran ke separuh akhir Sukan SEA, beliau berkata: ''Itu apa boleh kita buat. Saya menerima apa jua cakap orang mengenainya.''

Namun Sultan Ahmad tetap menyifatkan kegagalan itu sebagai satu tamparan hebat sambil bersyukur Malaysia tidak tersungkur selaku negara tercorot dalam saingan di rantau ini.

Malaysia memulakan kempen kali ini dengan kalah 1-2 kepada Singapura sebelum dibelasah teruk 0-6 oleh Indonesia.

Skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim ini terus terkandas untuk ke separuh akhir - melengkapkan kegagalan Malaysia buat kali kelima berturut-turut sejak Sukan SEA Manila 1991.

Malah keaiban di Brunei ini lebih teruk daripada tragedi ketika Malaysia dimalukan oleh pasukan kerdil, Laos 0-1 pada Sukan SEA XIX Jakarta, dua tahun lalu.

Walaupun begitu, Sultan Ahmad masih beranggapan badi kegagalan Sukan SEA ini bukan satu petanda berakhirnya dunia.

''Saya akan tunggu laporan jurulatih dan pengurus pasukan mengenai prestasi di sini. Kita akan bentuk suatu jawatankuasa berkecuali untuk membuat kajian teliti mengenainya,'' kata beliau. - Utusan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S7gDCrw4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan