Sabtu, 17 Disember 2016

Malaysia kejutkan skuad Gajah Putih

ARKIB : 30/03/2000
BAYANGAN Lebanon mungkin masih kabur tetapi Malaysia menamatkan pusingan pertama bola sepak kelayakan Piala Asia Kumpulan Lapan dengan kejutan menewaskan Thailand 3-2 pada perlawanan di Stadium Shah Alam, semalam.

Kemenangan bergaya itu bukan sahaja menamatkan badi kekalahan berterusan skuad kebangsaan sejak 1996 ke atas skuad negara Gajah Putih itu, bahkan membuka ruang buat Malaysia berbekalkan kedudukan di tangga teratas kumpulan apabila berkunjung ke Bangkok untuk pusingan kedua, minggu depan.

Rusdi Suparman memulakan langkah bergaya skuad negara dengan jaringan pembukaan pada minit ke-14 dan Mohd. Noor Derus menggandakan keceriaan Malaysia dengan gol kedua menerusi sepakan penalti minit ke-22.

Pemain tengah, Anuar Jusoh menambah gemilang menerusi tendangan lencong dari luar kotak penalti Thailand untuk gol ketiga Malaysia minit ke-48.

Dua gol Thailand pula dihasilkan menerusi penyerangnya, Khwanchai Phuangprakob minit ke-50 dan Nirut Surasiang minit 90.

Kali ini skuad negara menerima sokongan paling padu di hadapan kira-kira 35,000 penonton yang melakukan aksi 'Gelombang Mexico', aksi yang begitu lama dirindui.

Berkat sokongan tidak berbelah bahagi itulah mungkin memberi kekuatan tambahan buat skuad negara diberi pujian dengan aksi-aksi cemerlang sepanjang babak pertama.

Percaturan jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim merehatkan Zami Mohd. Noor dan memasukkan penyerang simpanan, Rusdi Suparman bergandingan dengan Mohd. Nizaruddin, jelas menjadi.

Gandingan dua penyerang itu tampak begitu menyengat dan mampu menghuru-harakan pertahanan Thailand sehingga akhirnya berjaya merobek gawang lawan.

Jaringan pembukaan Rusdi adalah hasil persefahaman mantap dengan Nizaruddin.

Penyerang Selangor itu menerima lorongan cantik Nizaruddin ke dalam kotak penalti hanya berdepan dengan penjaga gol Thailand, Wirat Wangchan tetapi Rusdi lebih pantas menyepak leret ke sudut sebelah kiri gawang Thailand.

Rusdi turut memainkan peranan ketika Malaysia memperoleh jaringan kedua sepuluh minit selepas itu apabila membawa bola secara solo masuk ke kawasan penalti sebelum dijatuhkan ketua pasukan Thailand, Choketawee Promrut.

Sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil perlawanan, Chan Siu Kee dari Hong Kong, tidak dipersia-siakan Mohd. Noor untuk menceriakan lagi kem skuad negara dan penonton.

Namun Thailand yang terkejut dengan dua gol awal Malaysia, bangkit untuk cuba merapatkan kedudukan dengan melancarkan serangan-serangan padu yang mampu menggugat skuad negara.

Tetapi kekebalan benteng negara dikemudi ketua pasukan, B. Rajinikandh dan Shamsul Amri selain kekentalan Mohd. Sany Fahmi, berjaya menangkis semua ancaman itu.

Anuar tambah menceriakan suasana Stadium Shah Alam dengan bingitan sorakan penonton apabila tendangan kencangnya dari luar kotak penalti ketika tiga minit babak kedua, mengelirukan Wangchan yang hanya mampu menguis dengan hujung jari tetapi bola terus menerjah jaringnya untuk gol ketiga Malaysia.

Begitu pun, mungkin dibuai kelekaan setelah mendahului tiga gol, Malaysia melepaskan satu gol mudah untuk Thailand lima minit kemudian.

Gol itu memberi semangat kepada kesebelasan Thailand yang terus mengasak kubu negara dengan rangkaian serangan berbahaya, mujur ketangkasan Mohd. Sany menyelamatkan keadaan dan Surasiang merapatkan kedudukan dengan jaringan kedua Thailand minit ke-90.

Phuangprakob tidak dicabar pemain negara ketika menanduk masuk bola ke sebelah kanan Mohd. Sany setelah mendapat hantaran ke tengah oleh Dusit Chalermsan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4T9L7PnHo © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan