ARKIB : 10/04/2000
SKUAD bola sepak kebangsaan
pulang ke tanah air dari Bangkok semalam selepas jerih berjuang dalam kempen
kelayakan Piala Asia, tanpa sambutan paluan kompang dan kalungan bunga di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Agaknya tiada apa yang istimewa
buat mereka untuk disambut seumpama itu, berbanding ketika skuad hoki Malaysia
yang serta-merta dihambur pujian menggunung sebaik melangkah keluar dari pintu
utama lapangan terbang, selepas berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik
Sydney, dua minggu lalu.
Bukan cemburu tetapi itulah
hakikat. Sekali lagi bola sepak pulang dengan membawa cerita duka, serupa
dengan keputusan yang dicatat semasa temasya Sukan SEA di Brunei, tahun lalu.
Kegagalan berterusan membawa
khabar gembira, khabar yang amat lama dinantikan, sekali lagi menjadi bahan
cemuhan dan makian. Mereka terus gagal mengabulkan harapan ramai.
Itu pada asasnya tetapi mungkin
ada yang tidak menyedari bahawa barisan skuad negara melangkah keluar dari
lapangan terbang dengan satu perasaan penuh ceria dan lapang dada, dengan
pancaran semangat yang begitu meyakinkan.
Mereka mungkin sukar untuk
menangkis cemuhan-cemuhan pihak ramai atas kegagalan dalam kelayakan itu tetapi
mereka sebenarnya telah berjaya meraih satu lagi pengalaman berharga.
Keputusan yang dicatat pasti
tidak menggembirakan ramai tetapi Abdul Rahman Ibrahim khabarnya sudah menemui
resipi terbaik yang mampu mengukuhkan lagi rencana karangannya.
Daripada tiada apa dan bermula
dari huruf A, jurulatih negara itu kini telah memiliki material yang sedang di
peringkat awalan dan hanya menunggu masa untuk dipasarkan.
''Masih ada sinar... cuma
berilah harapan,'' ujarnya.
Ketika memijakkan kaki di kota
raya Bangkok, seluruh anggota skuad bola sepak kebangsaan berjalan secara
berkumpulan dengan wajah penuh ceria, tanpa sebarang rasa gundah gulana.
Biarpun keletihan akibat
masalah kelewatan penerbangan, terpaksa pula berbaris panjang di kaunter
imigresen Lapangan Terbang Dong Muang, Bangkok, ada pula yang kurang cergas
akibat selesema dan batuk sejak di Kuala Lumpur lagi, mereka tetap gembira
kerana hadir selaku pasukan paling gagah sesudah tamat pusingan pertama di
Kuala Lumpur.
Itu permulaannya. Mereka gagah
menumbangkan Taiwan 3-0, mengikat pasukan kental Korea Utara 1-1 sebelum
mengejutkan seteru lama, Thailand 3-2. Mereka telah menunjukkan harapan.
Namun suasana girang berubah
tiba-tiba. Seluruh anggota pasukan bermuram durja. Ada yang menangis kerana
terkejut dan tidak percaya kepada apa yang telah berlaku ke atas pasukan
mereka.
Kekalahan mengejut 3-2 kepada
Taiwan pada perlawanan pembukaan pusingan kedua di Bangkok, rupanya permulaan
ranapnya keceriaan mereka.
Tewas 4-1 kepada Korea Utara
menyentap semangat yang sebelum itu membara dan kalah 3-2 kepada Thailand
melenyapkan hasrat semua. Impian ke Lebanon, gelanggang pusingan akhir Piala
Asia, turut berakhir hampa.
Benar, kekalahan kepada Taiwan
tidak seharusnya dicatat jika mengandaikan reputasi kedudukan lebih tinggi
skuad negara. Namun, jika dianalisis kedudukan barisan pemain negara ketika
itu, Rahman ada alasannya.
Dan alasan paling kukuh Rahman
terpancar menerusi aksi terakhir di Bangkok menentang skuad tuan rumah. Tewas
memang keputusannya tetapi Rahman tampak puas. Kebingitan sorakan penyokong
fanatik lawan bagai bukan satu ancaman.
Barisan anak buahnya yang
sebenarnya baru dibentuk cuma lima bulan, barisan yang lahir daripada mutu
rendah Liga Malaysia, tampak kian matang. Mereka mampu menjanjikan sinar
kejayaan pada hari mendatang.
Cuma mereka harus diberi lagi
kesempatan, dorongan, galakan dan harapan... bukan cemuhan dan makian yang
berterusan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TFuHDnDh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan