Selasa, 6 Disember 2016

Trio Olimpik dipanggil

ARKIB : 16/07/1999
TIGA pemain Olimpik 2000 dan seorang pemain Kuala Lumpur merupakan empat muka baru yang dipanggil jurulatih bola sepak kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim untuk dua perlawanan ujian di Myanmar, minggu depan.

Trio Olimpik, penyerang Khalid Jamlus, pemain tengah Tengku Hazman Raja Hassan dan pemain pertahanan M. Karunakaran serta bek kiri Kuala Lumpur, Mohd. Imran Ahmad mendapat kepercayaan jurulatih itu, menggantikan lima pemain yang diketepikan.

Azlisham Ibrahim (Pulau Pinang), Rizal Sukiman (Johor), Hamzani Omar (Johor FC), S. Saravanan (Kuala Lumpur) dan Shahrulnizam Sahat yang bersama pasukan ke Uzbekistan minggu lalu, digugurkan daripada skuad ke Myanmar.

Rahman ketika mengumumkan barisan itu berkata, lima pemain itu digugurkan kerana mereka tidak cukup bagus dan kurang meyakinkan pengurusan skuad untuk dipilih beraksi di peringkat antarabangsa.

Manakala empat pemain baru yang dipanggil berdasarkan keupayaan masing-masing dalam Liga Malaysia tetapi mereka terpaksa bekerja keras untuk berada dalam skuad ke Sukan SEA Brunei.

''Pemain Olimpik dipanggil untuk diuji bersama pasukan senior kebangsaan selepas aksi memberangsangkan semasa kelayakan Sukan Olimpik lalu dan jika mereka mempamerkan aksi baik di Myanmar, kemungkinan mereka akan diserapkan untuk skuad ke Sukan SEA.

''Imran pula dipilih kerana difikirkan sesuai untuk pertahanan kiri yang memerlukan pemain kidal,'' kata Rahman selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Skuad negara, yang baru pulang dari Uzbekistan kelmarin, berlepas ke Yangoon pagi ini.

Mereka dijadual mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan Myanmar pada Ahad dan Isnin ini sebelum kembali ke Malaysia pada Rabu.

Menurut Rahman, aksi di Myanmar merupakan ujian sebenar dan terakhir skuad kebangsaan sebelum terus membawa cabaran di Brunei, bulan depan.

''Ini adalah ujian sebenar kita kerana Myanmar dan Malaysia adalah setanding... dari situlah kita dapat lihat kemampuan dan kekuatan sebenar kita,'' kata jurulatih itu.

Di Brunei, Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama Indonesia, Singapura, Kemboja dan pasukan tuan rumah.

Myanmar berada dalam kumpulan A bersama juara bertahan, Thailand, Filipina, Vietnam dan Laos.

Bagaimanapun Rahman berkata, kecuali Zami Mohd. Nor, tempat bagi Azman Adnan dan Anuar Jusoh serta beberapa lagi pemain seperti M. Elangoo masih ada kerana barisan akhir skuad kebangsaan akan dinamakan sekembali mereka ke Malaysia.

''Azman dan Anuar masih berpeluang jika pulih daripada kecederaan masing-masing tetapi Zami mungkin tidak bersama ke Brunei,'' katanya.

Azman dan Zami yang cedera di buku lali serta Anuar di pangkal paha tidak bersama pasukan ke Uzbekistan yang mana Malaysia mencatat satu kemenangan daripada tiga perlawanan di sana.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4S3oulEzR © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan