Isnin, 19 Disember 2016

Presiden FAM dirayu batalkan hasrat lepaskan jawatan

ARKIB : 16/04/2000
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah semalam dirayu supaya membatalkan hasrat untuk melepaskan jawatan selepas kongres tahunan badan induk bola sepak kebangsaan itu, tahun depan.

Rayuan itu disuarakan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar pada Kongres Tahunan FAM Ke-37 di Kuala Lumpur semalam, dengan mendapat sokongan padu daripada anggota majlis.

Menurut Raja Ahmad, tiada jaminan mutu bola sepak negara mampu meningkat dalam tempoh yang singkat sekiranya Sultan Ahmad Shah mengundurkan diri.

Malah keadaan mungkin akan menjadi bertambah buruk kerana FAM, yang merupakan payung kepada bola sepak kebangsaan hilang pemimpin yang paling berwibawa.

''Saya harap Sultan Ahmad Shah tidak berniat untuk meneruskan hasrat meletak jawatan walaupun selepas kongres tahunan FAM yang akan datang,'' katanya semalam.

''Sesungguhnya beliau masih diperlukan oleh bola sepak negara ini dan saya harap beliau dapat terus menyumbang khidmat,'' katanya.

Sultan Ahmad Shah, yang berkhidmat lebih 15 tahun sebagai Presiden FAM pernah melahirkan hasrat untuk meletakkan jawatan hujung tahun lalu dengan alasan mahu menumpukan tugas Presiden Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) yang turut disandangnya.

Bagaimanapun hasratnya itu ditolak oleh FAM pada mesyuarat majlisnya November lalu, dan ia mendorong Sultan Ahmad Shah menangguh niat tersebut sehingga kongres FAM tahun depan.

Menurut Raja Ahmad lagi, beliau tidak nampak FAM mempunyai calon yang sesuai mengisi jawatan presiden dalam tempoh terdekat sekiranya jawatan itu dikosongkan.

''Saya bukan mahu mengampu tetapi inilah keadaannya sekarang, tidak semua orang faham apa yang harus dilakukan apabila menjadi seorang presiden,'' katanya lagi.

Beliau turut menegaskan, kegagalan skuad bola sepak kebangsaan pada kejohanan antarabangsa tidak wajar dipikul oleh presiden seorang, sebaliknya ia juga adalah tanggungjawab anggota majlis keseluruhannya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4TH4lC8TV © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan