ARKIB : 06/04/2000
BANGKOK - Bayangan Lebanon
kembali kelabu dan Malaysia tiada pilihan lain kecuali mencatat kemenangan ke
atas Korea Utara pada perlawanan kedua pusingan kedua bola sepak kelayakan
Piala Asia Kumpulan Lapan di Stadium Supphachalasai, Bangkok petang ini -
perlawanan hidup atau mati skuad negara.
Walaupun keputusan seri masih
membuka ruang, hanya kemenangan mampu menebus imej yang tercalar sesudah
dikejutkan dengan kekalahan 3-2 kepada Taiwan pada perlawanan pertama kelmarin,
keputusan yang tidak sepatutnya dicatat mereka.
Dan jika skuad negara tewas
kepada Korea Utara, ia adalah penamat cabaran. Pertemuan dengan Thailand pada
perlawanan terakhir kumpulan pada Sabtu sekadar pelengkap jadual.
Ia membuka peluang kepada Korea
Utara dan Thailand untuk menentukan siapa yang bakal melangkah ke pusingan
akhir Piala Asia di Lebanon, Oktober ini.
Thailand, jaguh Asia Tenggara
pasti tidak menghadapi masalah menumbangkan Taiwan dalam satu lagi perlawanan
petang ini sesudah menang penuh dramatik 5-3 ke atas Korea Utara kelmarin.
Tiada apa lagi yang perlu
difikirkan barisan skuad negara kecuali mencari rumusan terbaik untuk mengatasi
Korea Utara yang ternyata sebuah pasukan yang kental dan bersemangat waja
dengan corak permainan pantas dan menggerunkan.
Aib yang dicipta Taiwan harus
dilupakan dan kembali menyusun langkah meneruskan perjuangan yang belum
selesai, perjuangan yang belum mati.
''Mereka sedar atas kesilapan
itu. Memang mereka terlalu yakin akan menang ke atas Taiwan tetapi sebaliknya
pula yang berlaku.
''Perlawanan dengan Korea Utara
esok (petang ini) akan menentukan hidup mati kami dan semua pemain sedar
tentang itu. Mereka akan turun bermain habis-habisan untuk mencapai
kemenangan,'' kata jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim di Bangkok, semalam.
''Mungkin semangat sudah
terencat tetapi peluang kita masih terbuka. Cuma kita perlu menang dengan Korea
Utara sebelum membuat perhitungan dengan pasukan tuan rumah, Thailand pada
perlawanan terakhir,'' tambahnya.
Malaysia, yang sebahagian besar
pemain menghidap batuk dan selesema sejak tiba di Bangkok, turun menentang
Korea Utara tanpa penyerang Rusdi Suparman yang digantung satu perlawanan
selepas menerima kad merah pada pertemuan dengan Taiwan kelmarin.
Rusdi menerima kad kuning kedua
kerana dikatakan sengaja menjatuhkan diri dalam kotak penalti pada babak kedua
sesudah dilayangkan kad pertama kerana menarik pemain lawan pada babak pertama.
Harapan kini dipikul oleh Mohd.
Nizaruddin Yusof yang akan bergandingan dengan Bobby Pian.
Zami Mohd. Noor masih tidak
cergas untuk diturunkan manakala V. Saravanan mengalami kecederaan semasa
pertemuan dengan Taiwan.
Begitupun, Malaysia menghadapi
Korea Utara yang turut menghadapi masalah apabila tonggak pertahanan utama pasukan
itu, Ri Man Chol turut digantung satu perlawanan selain seorang pemain tengah
yang mengalami patah kaki dan tujuh pemain pula telah menerima satu kad kuning.
''Korea Utara turut menghadapi
masalah seperti kita... saya rasa peluang kita masih dianggap lebih cerah untuk
mengatasi mereka,'' kata Rahman.
Malaysia seri 1-1 dengan Korea
Utara pada pusingan pertama di Kuala Lumpur.
Skuad negara masih berada di
tangga teratas kumpulan dengan tujuh mata tetapi berkongsi mata dengan Thailand
manakala Korea Utara di tempat ketiga dengan lima mata. - Utusan
Daripada: JOHARI SHAWAL
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TFVbP3nA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan