Selasa, 6 Disember 2016

Azmin ditugas kawal pintu gol

ARKIB : 25/07/1999
PRESTASI konsisten dan memberangsangkan memberi ruang buat penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz untuk memikul tugas penting berdepan Singapura dalam perlawanan pembuka tirai pada bola sepak Sukan SEA XX di Brunei, 31 Julai ini.

Jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim ketika ditemui semalam, mengesahkan Azmin akan menjadi penjaga gol utama negara pada pertemuan itu.

''Azmin memang sepatutnya memikul tugas penjaga gol utama. Dia beraksi dengan baik dan konsisten sepanjang beberapa pertemuan persahabatan,'' katanya.

Menyentuh skuad kebangsaan, Abdul Rahman berkata, persiapan terakhir ditumpukan kepada beberapa aspek, termasuk taktikal.

''Saya sekarang sudah mempunyai pemain terbaik dalam skuad ini dengan prestasi yang semakin meningkat. Tentang 18 pemain dalam senarai akhir, tunggu Isnin ini.

''Fasa akhir latihan kita tumpukan kepada penyesuaian dengan keadaan cuaca. Kalau di Brunei kita akan melawan Singapura pukul 3.00 petang, maka biar menjalani latihan pada waktu yang sama,'' ujarnya.

Beliau turut mengesahkan pengguguran Azman Adnan daripada skuad itu dan menyifatkan ia bukan penghalang buat skuad negara mencatat kejayaan di Brunei.

''Bagi saya tanpa Azman, kita tidak hadapi sebarang masalah kerana dia tidak menyertai latihan sejak awal lagi.

''Gandingan serangan Azizul dan Rusdi juga semakin mantap. Namun kita harus akui bahawa skuad kebangsaan kita tak kuat,'' katanya sambil merendah diri.

Sementara itu, pemain tengah negara, Yap Wai Loon mendedahkan usaha Singapura memasang pengintip bagi mengenal pasti corak permainan Malaysia.

''Ketika pertemuan persahabatan di Myanmar, saya dapati ada dua pegawai Singapura yang mengintip permainan kami. Ini menggambarkan betapa seriusnya negara itu terhadap pertemuan dengan kita.

''Kali terakhir saya berdepan Singpura pada Piala Tiger 1997 ketika menang separuh akhir 3-1 dan kita tidak tahu sejauh mana kekuatan mereka sekarang. Kita tidak boleh ambil mudah,'' katanya.

Wai Loon, 30, pernah beraksi pada tiga temasya Sukan SEA sebelum ini, termasuk Manila, Filipina 1991, Chieng Mai, Thailand 1995 dan Jakarta, Indonesia 1997.

''Kita pernah melihat aksi Singapura dan Indonesia, tetapi kita tidak tahu kekuatan sebenar Kemboja. Jadi kenalah kita awasi.

''Selaku pemain tengah, saya perlu memastikan banyak hantaran terbaik untuk disempurnakan Azizul, Wan Rohaimi atau Rusdi,'' kata Wai Loon yang pernah dibimbing jurulatih terkemuka, Claude Le Roy pada Sukan Asia Hiroshima pada 1994.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4S3zA3riA © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan