RM650,000 tebus kontrak Hazwan
Selangor tidak terima tawaran, namun sedia runding
FADHILUL IZMEL ISHAK | 06 Disember 2016 12:13 AM
Rosman
KUALA LUMPUR 5 Dis. - Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak pernah menerima tawaran daripada mana-mana pasukan untuk mendapatkan bintang penyerangnya, Ahmad Hazwan Bakri.
Bagaimanapun gergasi bola sepak tempatan itu menegaskan, seandainya ada pasukan yang mahu memancing pemain kebangsaan tersebut, kontrak yang perlu ditebus dianggarkan bernilai RM650,000.
Setiausaha Agung FAS, Rosman Mohd. Ibrahim mengakui, pihaknya bersedia membincangkan mengenai masa depan penyerang kelahiran Labuan itu, namun ia tidak bermakna Selangor akan melepaskan Hazwan dengan mudah.
“Setakat ini, FAS belum menerima tawaran daripada mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan Hazwan dan jika ada yang berminat, mereka perlu berunding dengan kami kerana pemain itu masih mempunyai kontrak bersama Selangor.
“Kalau mereka benar-benar mahu mendapatkan Hazwan, mereka perlu menebus kontrak pemain itu terlebih dahulu yang dianggarkan bernilai RM650,000. FAS juga perlu melihat kepada hasil rundingan bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rosman memberitahu FAS tidak menghalang mana-mana pemain yang mahu berhijrah biarpun masih mempunyai kontrak bersama Selangor, namun dengan syarat penebusan kontrak hendaklah dilakukan.
“Jika ada pemain yang ingin berpindah menyertai pasukan lain dan dia masih mempunyai baki kontrak setahun (contoh), pemain itu boleh menyertai pasukan yang mereka mahukan. Namun, mereka perlulah menebus kontrak terlebih dahulu serta mencapai kata sepakat di antara kedua-dua belah pihak.
“FAS sentiasa terbuka dalam perkara ini dan adalah penting untuk kami mencapai keputusan menang-menang,” katanya lagi.
Hazwan, 25, antara penyerang berprofil tinggi dalam liga domestik sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), malah turut menarik minat sebuah lagi kelab liga utama yang tidak didedahkan identitinya.
Rosman bagaimanapun menegaskan, beliau tidak tahu menahu mengenai JDT atau mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan Hazwan, sebaliknya kekal dengan pendirian rundingan boleh dijalankan dengan mana-mana pasukan sekali pun jika mereka memenuhi segala syarat yang ditetapkan.
Penyerang Harimau Malaysia itu masih mempunyai baki kontrak bersama Selangor sehingga hujung 2017 dan jika ada pasukan yang mahu menggunakan khidmatnya sudah pasti mereka perlu mengeluarkan belanja besar.
Utusan Malaysia difahamkan gaji pemain itu bersama Red Giants ketika ini mencecah RM50,000 sebulan
sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/rm650-000-tebus-kontrak-hazwan-1.416758#sthash.WAhzweeU.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan