Ahad, 4 Disember 2016

Menguji 'gergasi' Asia

ARKIB : 16/06/1999
HONG KONG - Ujian pembuka tirai pasti tidak segetir ancaman Jepun yang berdepan skuad bola sepak negara dalam kejohanan pusingan pertama kelayakan Olimpik 2000 kumpulan enam (Zon Asia), di Stadium Hong Kong, hari ini.

Keputusan 2-2 dengan Hong Kong kelmarin sekalipun bukannya harapan Malaysia yang mahukan kemenangan, tetapi sekurang-kurangnya sudah membayangkan kesungguhan ''anak-anak buah'' jurulatih Hatem Souissi.

Pemain negara sudah membuktikan kemampuan untuk mencari dua jaringan bagi menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 0-2, menyaksikan perlawanan begitu mendebarkan.

Namun, lawan Malaysia hari ini bukannya sebarang pasukan, malah ''gergasi'' Asia iaitu Jepun yang terdahulu membelasah Filipina 13-0 dan menewaskan Nepal 5-0.

Jika pemain skuad Olimpik 2000 negara mampu mengekalkan semangat juang tinggi, sudah tentu Malaysia menjanjikan saingan sengit kepada Jepun, pasukan yang terlalu sukar ditewaskan.

Ternyata perlawanan hari ini cukup ''berat'' buat Malaysia kerana Jepun sekalipun sudah mencipta dua kemenangan tetap akan memberikan tentangan hebat.

Ini diakui Jurulatih Jepun berbangsa Perancis, Philippe Troussier yang menyifatkan perlawanan dengan Malaysia sebagai gelanggang untuk mencipta kemenangan berterusan.

''Tujuan kami ialah untuk layak ke Olimpik 2000 di Sydney, pasti kami mahukan kemenangan supaya laluan lebih mudah,'' tambah beliau.

Kata-kata Troussier itu merupakan amaran keras kepada skuad Olimpik 2000 negara supaya lebih bersedia untuk menghadapi Jepun supaya tidak menerima nasib seburuk Filipina atau Nepal.

Sementara itu, Hatem yang mengakui saingan cukup sengit akan dihadapi Malaysia tetap mahukan pemainnya supaya tidak mudah melakukan kesilapan.

Hatem pernah berkata bahawa beliau tidak percaya dengan persediaan dalam saat-saat terakhir berkata, Malaysia sudah bersiap lebih awal.

Sehubungan itu, barisan terbaik diturunkan Hatem perlu memberikan komitmen sepenuhnya untuk memastikan aksi memberangsangkan daripada pemain yang cukup bersemangat.

Sememangnya Malaysia ditenggelami populariti Jepun tetapi barisan pemain negara tidak perlu merasakan ''rendah diri''.

Kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu dalam perlawanan persahabatan tetapi sebelum ini, skuad terdahulu dibimbing jurulatih Claude Le Roy tewas 2-4, 2-3 dan 0-6 pada 1995.

Sekurang-kurangnya peluang menentang Jepun perlu dijadikan medan untuk skuad Olimpik 2000 membuktikan keupayaannya dalam kejohanan tersebut selepas seringkali menerima kritikan yang disebabkan prestasi tidak menentu pada masa lalu.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Rsl6x0XC © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan