ARKIB : 11/01/2000
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia
(FAM) yakin kemunculan semula Pesta Bola Merdeka yang satu ketika dahulu begitu
dihormati oleh negara-negara di rantau Asia pada Oktober ini dapat
mengembalikan semula zaman kegemilangan kejohanan itu.
Pesta Bola Merdeka, kejohanan
antarabangsa pertama anjuran FAM yang membabitkan pasukan-pasukan jemputan
dihentikan empat tahun lalu selepas kali pertama dilangsungkan pada tahun 1953.
Pada zaman kegemilangannya
sekitar tahun 1970-an dan awal 1980-an, Pesta Bola dianggap sebagai antara
kejohanan yang semestinya disertai oleh pasukan-pasukan gergasi Asia seperti
Korea Selatan, Jepun dan Kuwait selain jaguh-jaguh Asia Tenggara - Thailand,
Indonesia dan Singapura.
Pesta Bola yang lahir daripada
idea Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman yang juga presiden
pertama FAM bagaimanapun terhapus dari kalendar kejohanan FAM akibat tiada
sambutan daripada pasukan handalan mahu pun peminat tempatan.
Bermula pada pertengahan
1980-an, kejohanan itu hanya disertai oleh pasukan kedua terbaik atau
kelab-kelab kurang ternama di kalangan negara peserta.
Keadaan malang yang menimpa
kejohanan itu antaranya disebabkan oleh peningkatan mutu liga bola sepak di
negara-negara tersebut sementara Malaysia pula gagal melahirkan sebuah pasukan
kebangsaan yang mantap untuk dijadikan sebagai lawan ujian.
Sepanjang sejarahnya, Malaysia
pernah muncul juara sebanyak tiga kali dan pasukan negara pernah digelar
'Harimau Malaya'.
Kejohanan tersebut juga
dijadikan medan ujian bagi pemain-pemain negara untuk membandingkan kemampuan
sendiri dengan rakan-rakan mereka dari pasukan antarabangsa.
Bagaimanapun, sejak kemerosotan
prestasi skuad negara, kejohanan tersebut juga mengalami nasib yang sama.
Oleh itu, untuk mengembalikan
semula martabat tinggi yang pernah diterima oleh Pesta Bola Merdeka, FAM telah
merancang untuk menjemput pasukan-pasukan terkenal di samping mengadakan
sambutan gilang-gemilang pada Oktober nanti.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SpBoEtLH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan