ARKIB : 01/07/1999
GILIRAN Azlisham Ibrahim
memikul tugas selaku kubu terakhir Malaysia apabila melayani New Zealand pada
perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala
Lumpur, malam ini.
Azlisham menjadi sandaran
jurulatih Abdul Rahman Ibrahim dalam usaha membentuk skuad negara yang mantap
selepas menguji kemampuan V. Murugan ketika menentang Iraq, minggu lalu.
Pemilihan Azlisham atau Boy
turut memintas sementara penjaga gol utama negara, Azmin Azram Aziz yang kali
terakhir bermain ketika menentang Arsenal, 19 Mei lalu.
''Saya tidak hiraukan apa jua
keputusan perlawanan esok (hari ini). Kalau kalah sekalipun, ia lebih baik
daripada kecundang di Sukan SEA di Brunei nanti.
''Pemain negara beraksi tanpa
tekanan kerana New Zealand merupakan pasukan yang kuat,'' kata Rahman selepas
sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya semalam.
Katanya, hakikat Malaysia
berdepan lawan yang lebih handal itu jelas apabila menilai kemampuan New
Zealand yang menjuarai kawasan Oceania dengan mengetepikan Australia.
''New Zealand sedang dalam
rangka persediaan ke Piala Gabungan FIFA. Menewaskan Australia bermakna New
Zealand bukan calang-calang pasukan,'' katanya.
Australia cuma digagalkan oleh
Iran pada perlawanan penentuan tiket ke pusingan akhir Piala Dunia tahun lalu
menerusi peraturan jaringan di tempat lawan.
Kata Rahman, seperti menentang
Iraq, perlawanan dengan New Zealand masih meletakkan skuad negara di peringkat
pembinaan.
''Keadaan semasa turut
membataskan saya untuk menemui rentak dan persefahaman pemain. Misalnya
kecederaan Azman Adnan baru-baru ini,'' katanya.
Rahman bagaimanapun
mengharapkan Azizul Kamaluddin dan Rusdi Suparman untuk membentuk jentera baru
serangan Malaysia selepas hasratnya melihat gandingan Azman-Zami Mohd. Noor
tidak kesampaian.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S2s7uNHV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan