ARKIB : 23/05/2000
BIARPUN cuma diberi peluang
bermain pada 15 minit terakhir untuk Racing Strasbourg, aksi Akmal Rizal Ahmad
Rakhli dalam bola sepak persahabatan menentang FC Zagreb di Shah Alam kelmarin
harus memikat penonton dan mendapat pujian rakan sepasukan dan jurulatih kelab
Perancis itu, Claude Le Roy.
''Dia semakin banyak
menunjukkan peningkatan terutama dari segi taktikal permainan. Dia memang
pemain hebat dan berskil tinggi,'' puji Le Roy.
Akmal, penyerang berasal dari
Kedah berusia 19 tahun, mengukir sejarah bagi dirinya apabila menjaringkan gol
kedua untuk Strasbourg pada minit terakhir perlawanan untuk membantu pasukannya
menang menang 2-0.
Akmal dimasukkan Le Roy pada
minit ke-75 menggantikan penjaring gol pertama Strasbourg, Pegguy Liyundula dan
aksi singkatnya mendapat perhatian penonton.
''Saya akan ingat sampai
bila-bila jaringan saya itu kerana ia adalah gol pertama saya ke atas kelab
hebat di Eropah seperti FC Zagreb ini,'' kata Akmal. FC Zagreb adalah antara
kelab utama Liga Croatia.
Akmal dan seorang lagi pemain
remaja, Juzaili Samion kini sedang berlatih bersama Strasbourg sejak akhir
tahun lalu - antara program besar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk
membentuk pemain berwibawa.
Juzaili bagaimanapun tidak
diturunkan Le Roy, jurulatih yang pernah membimbing pasukan kebangsaan Malaysia
pada 1994, pada perlawanan kelmarin.
Selain itu, Akmal dan Juzaili
turut dipinjamkan untuk FC Hageanau yang beraksi dalam liga amatur Perancis dan
mereka bermain cemerlang untuk kelab berkenaan.
''Saya telah bermain sebanyak
10 perlawanan dengan kelab Hageanau dan menjaringkan tiga gol yang membantu
pasukan mencatat enam kemenangan. Saya mendapat pujian daripada jurulatih
Hageanau,'' kata Akmal.
Akmal dan Juzaili pasti akan
menjadi aset utama skuad remaja negara yang bakal menghadapi kelayakan zon Asia
ke Piala Dunia Belia di Kuala Lumpur, bulan depan. Pasukan bawah 19 tahun
negara kini dilatih Allan Harris dari England.
Mengenai kemungkinan khidmat
Akmal dan Juzaili akan terus digunakan Hageanau dan Strasbourg, Le Roy berkata,
beliau akan berbincang dengan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan
Ahmad Shah terlebih dahulu.
''Mereka (pemain) mahu terus
berlatih bersama kami dan saya juga galakkan mereka tetapi kami harus mendapat
persetujuan terlebih dahulu daripada FAM,'' kata Le Roy.
Strasbourg dan FC Zagreb
berkunjung ke Malaysia untuk berehat selepas tamat kempen liga masing-masing di
samping mengadakan perlawanan persahabatan di sini.
FC Zagreb akan menentang
Selangor di Stadium Shah Alam esok dan Sarawak 29 Mei di Kuching manakala
Strasbourg dijadual bertemu Pahang dan Pulau Pinang.
Oleh: JOHARI SHAWAL
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TZwGbA9q
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan