ARKIB : 13/01/2000
DUA pemain berbakat negara,
Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Muhamad Juzaili Samion akan berangkat ke Perancis
malam ini bersama misi untuk mendapatkan kontrak bermain dengan kelab terkenal
Eropah, lapor ABDUL JAILANI ABDULLAH.
Kedua-dua pemain berusia 18
tahun itu akan menjalani ujian dengan kelab bahagian satu Perancis, Strasbourg.
Kedua-dua pemain tersebut yang
pernah meraih pengalaman dengan pasukan terunggul Jerman, Bayern Munich
menunjukkan kesungguhan tinggi menjelang ujian dengan Strasbourg dan berharap
bakat mereka akan menambat hati pengurus-pengurus kelab terkenal di Eropah.
Oktober lalu, mereka telah ke
Strasbourg untuk mencuba nasib dengan harapan dipanggil menyertai ujian kali
ini. Bakat mereka telah berjaya menambat hati pihak pengurusan Strasbourg yang
seterusnya menawarkan mereka sesi latihan ujian selama enam bulan bersama kelab
tersebut.
Bagaimanapun, mereka berdua
terpaksa menunggu sehingga Jun nanti untuk mengetahui sama ada mereka akan
ditawarkan kontrak bermain.
Akmal dan Juzaili adalah
anggota penting skuad Bawah 19 Tahun Kebangsaan yang sedang menjalani
persediaan untuk ke pusingan kelayakan Kumpulan 9 Kejohanan Remaja Asia Jun
ini.
Malaysia akan bersaing dengan
Korea Selatan, Singapura, Macau dan Filipina dan seandainya tawaran Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) diterima, mereka akan bermain di hadapan para
penyokong sendiri.
Akmal yang berasal dari Kedah
berkata, pengalaman ketika bersama Bayern Munich pada September 1997 akan
digunakan sebaik mungkin dalam ujian di Strasbourg.
''Latihan di Eropah amat sukar
dan agresif,'' katanya. ''Memang sukar untuk kita diberikan kontrak, tetapi
berusaha mendapatkannya adalah satu cabaran yang menarik.''
Rakannya, Juzaili pula
menyifatkan sikap para pemain profesional Eropah amat jauh berbeza dengan
pemain di sini.
''Kesemua mereka bersikap
profesional sama ada sebelum, ketika dan selepas latihan,'' kata pemain
berbakat dari Pahang itu. ''Semua orang mesti berfikir secara profesional pada
setiap masa.''
Sekiranya salah seorang
daripada mereka ditawarkan kontrak, ia merupakan kali pertama pemain Malaysia
berjaya menyertai pasukan bahagian satu Eropah.
Sepanjang sejarah bola sepak
negara ini, hanya Lim Teong Kim berjaya bermain dalam Bundesliga apabila
menyertai kelab bahagian dua, Hertha Berlin.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SpJGSPTt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan