ARKIB : 04/04/2000
KHABAR buruk buat skuad bola
sepak kebangsaan menjelang perlawanan pertama menentang Taiwan petang ini pada
pusingan kedua kelayakan Piala Asia Kumpulan Lapan di Bangkok, apabila lebih
separuh daripada 20 pemain negara dilanda batuk dan selesema sejak tiba di kota
raya itu, kelmarin.
Jurulatih negara, Abdul Rahman
Ibrahim memberitahu, sekurang-kurangnya tujuh pemain terpaksa diberi rawatan di
klinik berhampiran penginapan mereka kelmarin manakala lima lagi menerima
rawatan semalam.
Rahman berkata, sebahagian
besar pemain yang menghidap penyakit itu adalah tonggak utama pasukan
kebangsaan tetapi keadaan mereka tidak terlalu serius.
''Mula-mula hanya dua tiga
orang tetapi berjangkit pula kepada pemain lain dan sehingga kini
sekurang-kurangnya 15 pemain menghidap batuk dan selesema.
''Mungkin keadaan cuaca panas
di sini merupakan faktor mereka dijangkiti penyakit itu,'' kata Rahman semalam.
Menurut Rahman, keadaan itu
menjejaskan persiapan skuad negara menjelang perlawanan penting menentang
Taiwan petang ini di Stadium Suphachalasai.
''Tetapi saya tidak bimbang
kerana komitmen dan semangat mereka tetap tinggi dan mereka juga sedar
kepentingan perlawanan ini.
''Tetapi saya berharap mereka
tidak terlalu menaruh keyakinan tinggi dalam perlawanan itu... cuma turun dan
bermain seperti mana mereka bertemu pada pusingan pertama,'' katanya.
Mengenai barisan skuad negara
yang akan diturunkan petang ini, Rahman berkata Bobby Pian akan digandingkan
bersama Rusdi Suparman di barisan serangan.
''Zami (Mohd. Noor) belum
cergas sepenuhnya akibat kecederaan pangkal paha kiri dan Nizaruddin (Yusof)
pula digantung satu perlawanan akibat menerima dua kad kuning.
''Bobby saya pilih berbanding
V. Saravanan kerana Saravanan kurang diturunkan semasa pusingan pertama,''
jelasnya.
Abd. Ghani Malek yang tidak
bermain dalam dua perlawanan di Kuala Lumpur, diturunkan di barisan pertahanan
bersama-sama Shamsul Amri Abu Bakar.
Ketua pasukan, B. Rajinikandh
kembali di posisi tengah bersama Anuar Jusoh dan Ahmad Shahrul Azhar Sofian
manakala pemain utama lain seperti penjaga gol, Mohd. Sany Fahmi, Bahtiar
Othman dan Hairul Nizam Haniff kekal di posisi masing-masing.
''Cuma saya tidak pasti sama
ada Mohd. Noor Derus yang dilihat agak serius menghidap selesema akan
diturunkan tetapi keadaannya akan diketahui selepas latihan hari ini,'' kata
Rahman.
Oleh: JOHARI SHAWAL
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TCVjNXcc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan