ARKIB : 02/08/1999
PENYERANG berbisa Thailand,
Kiatisuk Senamuang membuat libasan kencang dalam cubaan ke gawang Laos pada
perlawanan kumpulan A Sukan SEA XX Brunei di Stadium Balapan dan Padang, Bandar
Seri Begawan, semalam. Thailand menang 4-1.
MALAYSIA akan mengharungi
pertemuan hidup mati apabila turun menentang penyandang naib juara, Indonesia
pada perlawanan bola sepak kumpulan B Sukan SEA XX di Brunei, hari ini.
''Perjuangan kita belum
selesai,'' itulah yang diluahkan jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim.
''Kita masih berpeluang untuk
mencapai misi kita tetapi kita tidak harus tewas dalam dua perlawanan
berikutnya...kita perlu menang dengan Indonesia,'' tambahnya.
Kelmarin, Malaysia tewas 1-2
kepada Singapura pada perlawanan pertamanya dalam persaingan kumpulan B.
Kekalahan itu menyukarkan
laluan skuad negara ke separuh akhir dan perlu menang ke atas Indonesia pada
hari ini untuk mengelakkan kekecewaan empat temasya berturut-turut sebelum ini
berulang.
Rahman bagaimanapun, masih
mampu membayangkan kemenangan biarpun tahu kekuatan Indonesia berdasarkan
pertemuan mereka sebelum ini.
''Cuma yang merisaukan saya,
pemain tidak mampu mempersembahkan gaya dan corak permainan seperti mana dalam
lapan perlawanan persahabatan sebelum ini.
''Semua pemain tiba-tiba tidak
dapat beraksi mengikut tahap sebenar masing-masing ketika menentang Singapura.
Saya bimbang persembahan yang sama ditunjukkan dalam perlawanan dengan
Indonesia nanti,'' kata Rahman ketika ditemui di Perkampungan Sukan di Bandar
Seri Begawan, semalam.
Beliau nyata kecewa dengan
persembahan beberapa pemainnya kelmarin terutama penyerang Rusdi Suparman dan
pemain pertahanan, Syamsul Amri Abu Bakar.
''Mereka bermain konsisten
semasa persahabatan tetapi aksi mereka turun menjunam pada perlawanan penting
itu...saya tidak tahu apa yang terjadi kepada mereka.
''Begitu juga dengan pemain
lain seperti Yap (Wai Loon), Ahmad Shahrudin (Rosdi) dan Rajinikandh. Saya
sedikit kecewa dengan persembahan mereka,'' katanya.
Berdasarkan statistik pertemuan
kedua-dua pasukan, Malaysia menang 3-1 pada Piala Tiger 1996 di Singapura
tetapi kalah teruk 0-4 pada Sukan SEA XIX di Jakarta.
Sementara itu, jurulatih
Indonesia, Bernhard Schumm menjangkakan pertemuan sengit antara kedua-dua
pasukan yang memerlukan kemenangan.
''Saya pasti perlawanan ini
sengit. Peluang kedua- dua pasukan untuk menang sebenarnya 50-50,'' kata
Schumm.
Begitupun, jurulatih dari
Jerman itu tetap menghormati Malaysia biarpun skuad lawan itu masih baru
dibentuk dengan gandingan sebahagian besar pemain muda.
''Saya risaukan barisan
serangan mereka iaitu Azizul (Kamaluddin) dan Rusdi (Suparman). Mereka begitu
pantas dan mampu mencipta gol jika diberi banyak ruang.
''Saya akan pastikan mereka ini
dikawal ketat,'' tambah Schumm.
Schumm berkata, dia akan
menurunkan barisan yang serupa ketika menentang Kemboja tetapi mungkin tanpa perancang
utamanya, Bima Sakti.
''Saya tahu pertahanan Malaysia
sukar ditembusi tetapi kita ada cara sendiri untuk mengatasi masalah itu,''
kata Schumm.
MALAYSIA: Azmin Azram Aziz, V.
Thinagaran, Asmawi Bakiri, Syamsul Amri Abu Bakar, Mohd. Nazri Yunos, B.
Rajinikandh, Yap Wai Loon, Ahmad Shahruddin Rosdi, Rusdi Suparman, Azizul
Kamaluddin. - Utusan
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S4Hn2PBN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan