Rabu, 14 Disember 2016

Senyum Abdul Rahman masih kelat

ARKIB : 14/01/2000
BIARPUN mencatat keputusan agak memberangsangkan dalam dua perlawanan ketika lawatan ke Dubai hujung bulan lalu, senyum jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim masih kelat.

Di kotak fikirannya terpalit kerisauan tentang barisan pemain yang dianggapnya belum mantap secukupnya sedangkan tempoh kelayakan Piala Asia cuma tinggal kira-kira dua bulan lagi.

Posisi serangan mungkin menampakkan kemajuan tetapi bahagian pertahanan kurang menggembirakan jurulatih itu.

''Keadaan ini memaksa saya membawa masuk tiga lagi pemain baru ke dalam pasukan. Selain Bobby Pian, pemain pertahanan Negeri Sembilan Ching Hong Aik dan Mohd. Hairul Nizam Haniff dari Pahang saya pilih untuk latihan pemilihan.

''Ini kerana posisi serangan dan pertahanan belum cukup kukuh dan ia jelas ketika lawatan kita ke Dubai,'' kata Rahman semalam.

Bobby, penyerang Sarawak dibawa masuk Rahman bagi menilai kemampuan pemain itu di barisan serangan pasukan kebangsaan yang sudah memiliki lima penyerang - Azizul Kamaluddin, Rusdi Suparman, Wan Rohaimi Ismail, Mohd. Khalid Jamlus dan Mohd. Nizaruddin Yusof.

''Saya juga mahu menguji Hong Aik dan Hairul Nizam di bahagian pertahanan sebelah kiri kerana buat masa ini kita tidak ada pemain kidal.

''Saya lihat posisi ini amat penting menggunakan pemain berkaki kiri kerana Anuar Jusoh belum pulih daripada kecederaan lutut,'' kata Rahman.

Skuad kebangsaan mencatat kemenangan 1-0 dalam dua perlawanan persahabatan di Amiriah Arab Bersatu (UAE) menentang kelab Abu Dhabi dan pasukan kebangsaan Singapura.

Semua pemain yang diberi cuti dua minggu sempena Hari Raya Aidil Fitri, akan kembali menyambung latihan Ahad ini.

Rahman berkata, pasukan kebangsaan perlu mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan terbaik sekerap mungkin.

''Saya belum tahu program lanjut (FAM) tetapi saya percaya mereka sudah mengatur beberapa lagi perlawanan untuk pasukan,'' katanya.

Pada kelayakan Piala Asia Mac ini, Malaysia diletakkan dalam kumpulan 8 bersama pasukan gergasi Asia Tenggara, Thailand, Taiwan dan Korea Utara.

Pusingan pertama berlangsung di Kuala Lumpur pada 25-29 Mac manakala Bangkok menganjurkan pusingan kedua pada 4-8 April.

Oleh: JOHARI SHAWAL

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SpQJXXsh © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan