Selasa, 6 Disember 2016

FAM perlu rombakan radikal

ARKIB : 05/08/1999
ROMBAKAN radikal perlu dilakukan ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) termasuk menyingkirkan para pemimpin persatuan itu yang dianggap sebagai 'penumpang' bagi memastikan mutu bola sepak di negara ini dipertingkatkan.

Para pemimpin pertubuhan bukan kerajaan mahu golongan korporat berwibawa dan lain-lain pemimpin profesional yang benar-benar mencintai bola sepak diserap dalam badan induk bola sepak negara.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Profesor Hamdan Adnan berkata, pada masa ini terdapat ramai pemimpin bola sepak yang dilihat gagal memberi sumbangan berkesan kepada badan sukan bola sepak itu.

Menurutnya, unsur politiking dalam FAM juga perlu diminimumkan.

''FAM memerlukan hanya pemimpin yang dedikasi, komited, minat dan cinta kepada bola sepak di samping mempunyai kreativiti untuk membantu mencorakkan pasukan kebangsaan.

''Kebanyakan pemimpin yang ada sekarang terbukti tidak berkesan. Kerana itulah pasukan kita begitu mudah dimalukan oleh Indonesia,'' katanya kepada Sukan Utusan ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Hamdan mengulas kekalahan teruk Malaysia 0-6 kepada Indonesia kelmarin yang dianggap sebagai mengaibkan serta menjatuhkan maruah negara.

Berikutan kekalahan tersebut, pelbagai pihak termasuk rakyat biasa mengecam pengurusan pasukan kebangsaan.

Menurut beliau, ahli politik yang menerajui badan sukan biasanya tidak mempunyai masa yang banyak untuk bersama pemain dan gejala itu boleh memberikan kesan negatif kepada semua pemain terlibat.

''Kalau hanya jadi penumpang dan asyik mahu mendapatkan faedah dan kemudahan yang ada, lebih baik berundur sahaja,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), N. Siva Subramaniam pula berkata, prestasi buruk pasukan kebangsaan hanya akan membunuh minat generasi muda untuk terus berkecimpung dalam bola sepak.

''FAM gagal melahirkan wira bola sepak kebangsaan. Persatuan itu hanya melahirkan pemain yang lembik dan tidak bersedia dari segi mental,'' ujar Siva.

Sementara seorang peminat bola sepak tempatan yang begitu kecewa dengan kekalahan teruk pasukan negara kepada Indonesia meminta Presiden FAM, Sultan Haji Ahmad Shah sendiri meletakkan jawatan.

''Kekalahan ini sangat memalukan dan Presiden FAM sepatutnya bertanggungjawab penuh di atas kekalahan ini,'' katanya yang tidak mahu namanya disiarkan.

Oleh: AKMAR HISHAM MOKHLES

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4S4UR6FrX © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan