Ahad, 4 Disember 2016

Janji dua tonggak untuk negara

ARKIB : 14/06/1999
HONG KONG - Dua tonggak skuad Olimpik 2000 negara, Tengku Hazman Raja Hassan dan Muhammad Khalid Jamlus mahu menjadikan kesilapan lalu sebagai perangsang untuk bangkit mengembalikan kecemerlangan bola sepak pada masa depan.

Sehubungan itu, kedua-duanya berazam memberikan persembahan terbaik bermula dengan perlawanan menentang Hong Kong dalam kejohanan pusingan pertama kelayakan Olimpik 2000 kumpulan enam (Zon Asia) di Stadium Hong Kong malam ini.

Ketua pasukan, Tengku Hazman berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan menyedari tentang masalah termasuk soal disiplin pada masa lalu yang menyaksikan pasukan berkenaan sering dikecam hebat.

''Segala masalah lalu seharusnya diketepikan kerana tumpuan perlu diberikan kepada perlawanan menentang Hong Kong yang boleh dianggap sebagai perit selepas pasukan tuan rumah tewas mengejut 1-2 kepada Nepal,'' kata beliau.

Kata Tengku Hazman, Hong Kong pasti berhempas pulas untuk mencari kemenangan tetapi Malaysia juga mahukan kejayaan menerusi komitmen sepenuhnya daripada pemain.

Sementara Khalid berkata, sebagai penyerang, dia yakin dapat menemui semula sentuhan selepas sering kali gagal melakukan penyudah berkesan walaupun peluang terbaik sentiasa terhidang.

''Menerusi perlawanan antara Hong Kong dengan Nepal, saya dapati pemain tuan tumah mempunyai keistimewaan tetapi mereka turut terdedah kepada beberapa kelemahan.

''Kelemahan pemain pertahanan Hong Kong mungkin memberi saya kesempatan untuk cuba mencari seberapa banyak gol yang mampu diperoleh,'' katanya. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RsTdobMz © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan