ARKIB : 03/08/1999
PEMAIN Malaysia tertunduk muram
selepas dibelasah teruk 0-6 oleh Indonesia pada perlawanan bola sepak kumpulan
B Sukan SEA XX Brunei di Stadium Balapan dan Padang, Bandar Seri Begawan,
semalam.
TUAH yang diharap, bala pula
yang menimpa. Begitulah nasib skuad bola sepak Malaysia apabila dibelasah teruk
6-0 oleh Indonesia pada bola sepak Sukan SEA XX Brunei semalam, sekali gus
menguburkan impian besar skuad negara untuk melangkah ke separuh akhir.
Kekalahan terbesar pada
perlawanan yang berlangsung di Stadium Balapan dan Padang itu, adalah yang
pertama dalam sejarah pertemuan dengan Indonesia dalam Sukan SEA sejak 1977.
Sebelum ini, Malaysia tewas 0-4
kepada skuad republik itu pada temasya 1997 di Jakarta dalam perlawanan
kumpulan. Kini Malaysia sudah boleh dianggap menempah kegagalan kali kelima
berturut-turut untuk ke separuh akhir dalam Sukan SEA sejak 1991.
Dua gol awal Indonesia dalam
tempoh sepuluh minit permainan menerusi Hariyanto Prasetyo dan penyerang
lincah, Rochi Putiray, dianggap detik kemusnahan skuad negara yang mempamerkan
persembahan tidak bermaya sepanjang perlawanan.
Biarpun berjaya mengekang
Indonesia dengan dua gol pada babak pertama itu, Malaysia tidak berupaya
menahan asakan menggila Indonesia yang mudah menambah empat gol lagi pada babak
kedua.
Pemain pra-Olimpik Indonesia,
Bambang Pamungkas menyumbangkan dua gol berturut-turut dalam tempoh tujuh minit
selepas babak kedua baru bermula enam minit, sebelum Ali Sunan menambah derita
skuad negara dengan gol kelima 20 minit selepas itu.
Putiray menghentikan 'hukuman'
ke atas Malaysia dengan jaringan penutup enam minit sebelum tamat permainan
untuk Indonesia mencatat sejarah tersendiri berkenduri gol ke atas Malaysia
buat pertama kali.
Anak buah Abd. Rahman jelas
tidak mampu menyaingi pemain 'Indonesia yang beraksi pantas dengan sistem yang
teratur, hasil percaturan jurulatih dari Jerman, Bernhard Schumm.
Kepantasan dan kelicikan pemain
Indonesia yang menguasai bahagian tengah melancarkan lagi jentera serangannya
mengenakan hukuman setimpal dengan kerapuhan benteng Malaysia.
Skuad negara hanya meyakinkan
dalam tempoh lima minit pertama permainan tetapi tiba-tiba hilang rentak
apabila banyak membuat kesilapan di bahagian pertahanan.
Kesilapan pertama pada minit
kelima mengundang padah apabila sepakan percuma yang dihadiahkan di luar kotak
penalti Malaysia tidak disia-siakan Heriyanto yang membuat tendangan lencong
tepat ke penjuru gawang Malaysia, langsung gagal dikuis Azmin Azram Aziz untuk
gol pembukaan Indonesia.
Tiga minit kemudian, Rochi yang
menjadi tumpuan sepanjang permainan, langsung tidak dikawal mudah menanduk
masuk gol kedua.
Malaysia bagaikan
diperbudak-budakkan apabila langsung gagal memegang lama bola apalagi mencipta peluang.
Barisan pemain tengah Yap Wai
Loon, B. Rajinikandh dan Ahmad Shahrul Azhar langsung tidak dapat menggerakkan
serangan, menjadikan dua penyerang, Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi lebih
banyak berlari mengejar bola.
Kawalan pemain yang longgar, hantaran
yang tidak tepat merupakan faktor utama skuad negara bagaikan sebuah pasukan
kelab amatur. Empat gol pada babak kedua menerusi Bambang, Ali dan Putiray
bagaikan lanjutan hukuman ke atas kegoyahan benteng Malaysia.
Kegagalan skuad negara boleh
dianggap menutup terus peluang untuk ke separuh akhir, kecuali kemenangan dalam
dua lagi perlawanan menentang Kemboja (Rabu) dan Brunei (Jumaat) sambil
mengharapkan sesuatu berlaku ke atas Singapura dan Indonesia.
MALAYSIA: Azmin Azram Aziz, V.
Thinagaran, Abdul Ghani Malek, Khairul Anuar Baharom (M. Karunakaran), Nazri
Yunos (Asmawi Bakiri), B. Rajinikandh, Yap Wai Loon, Ahmad Shahrul Azhar, Wan
Rohaimi Ismail (Rusdi Suparman), Azizul Kamaluddin.
INDONESIA: Komang Putra, Aji
Santoso (Anang Ma'ruf), Acung Setiyabudi, Sugi Yantoro, Eko Purjianto, Ali
Sunan, Hariyanto Prasetyo (Uston Nawawi), Andrian Mardiansyah, Nur Alim,
Bambang Pamungkas (Widodo Chahyono Putro), Rochi Putiray.
Sementara itu di Kompleks Sukan
Berakas, Kemboja berjaya mengikat tuan rumah 3-3 dalam satu lagi perlawanan
kumpulan B. - Utusan
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S4NRSaNS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan