Sabtu, 3 Disember 2016

100 syor tingkat mutu bola sepak

ARKIB : 10/06/1999
TENGKU Abdullah (tengah) diiringi jurulatih Johor FC, Ronald Smith bersalaman dengan bekas jurulatih Inter Milan, Roy Hodgson (kanan) sebelum merasmikan Seminar Bola Sepak Kebangsaan di Hotel Concorde, Shah Alam, semalam.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dicadangkan mencari supremo atau seseorang yang mempunyai pengetahuan, kebolehan dan pengalaman tertinggi dalam aspek taktikal, teknikal serta kejurulatihan sebagai antara usaha membantu meningkatkan mutu bola sepak negara.

Usaha memantapkan skuad kebangsaan juga disifatkan mampu direalisasikan jika FAM sanggup memilih pemain untuk menyarung jersi negara tanpa membabitkan mereka dalam Liga Malaysia.

Selain itu, menswastakan Liga Malaysia serta kajian menyeluruh terhadap kesan semua pertandingan yang dikatakan bertaraf profesional itu seperti Liga Perdana Satu dan Dua, Piala Malaysia dan Piala FA ke atas pemain wajar dilakukan.

Hubungan erat dan saling memahami antara jurulatih dan pengurus pasukan juga perlu diberikan perhatian dan tidak mengehadkan peranan mereka dalam menentukan arah tuju pasukan.

Ia adalah antara 100 cadangan yang diajukan peserta kepada badan induk bola sepak negara pada Seminar Bola Sepak Kebangsaan di Shah Alam, semalam.

Seminar sehari itu membabitkan lima bengkel perbincangan - pembangunan belia, pertandingan, pembangunan pengadil/jurulatih, kemudahan dan persiapan pasukan bola sepak kebangsaan.

Kira-kira 200 peserta termasuk orang awam, bekas pemain kebangsaan, jurulatih, pengurus pasukan, pengadil, pakar bola sepak dan media massa menyertai seminar ini yang dirasmikan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Seminar itu bertujuan mendapatkan maklum balas daripada kalangan peserta mengenai situasi terkini bola sepak negara.

Bekas jurulatih Inter Milan dari England, Roy Hodgson turut memberi pandangan menerusi kertas cadangannya yang dibentangkan pada awal seminar.

Hodgson menyentuh mengenai keperluan dalam pembentukan sebuah pasukan bola sepak kebangsaan yang baik, berdasarkan pengalamannya.

Beliau memberi pandangan agar hubungan pengurusan pasukan dengan pihak media dipereratkan lagi bagi mengatasi pengaruh negatif yang boleh menjejaskan persembahan pasukan.

''Pasukan juga perlu mempunyai matlamat yang tepat bermula dari peringkat akar umbi,'' kata Hodgson.

Dalam pada itu, cadangan lain yang turut diutarakan peserta ialah meminta FAM mengkaji pelantikan ejen bagi perpindahan pemain dalam kancah Liga Malaysia yang kerap dilanda masalah apabila musim baru tiba.

Juga cadangan agar FAM membayar gaji pemain negeri secara terus daripada kantungnya sendiri tanpa mengagihkan terlebih dahulu menerusi geran tahunan.

FAM juga digesa menyediakan kalendar tetap tahunan bagi pertandingan peringkat antarabangsa membabitkan skuad kebangsaan dalam usaha memantapkan cabaran.

Tengku Abdullah dalam sidang akhbar selepas seminar itu berkata, segala cadangan yang dikemukakan peserta akan dibawa ke pengetahuan anggota Majlis FAM untuk tindakan lanjut.

''Majlis FAM akan mengkaji dan meneliti setiap cadangan sama ada ia boleh diterima pakai. FAM bersikap terbuka dalam hal ini dan menerima setiap kritikan membina,'' ujarnya.

Oleh: JOHARI SHAWAL

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RqQmJhM5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan