ARKIB : 26/07/1999
TIDAK banyak kejutan bakal
dibuat oleh jurulatih Abdul Rahman Ibrahim apabila memutuskan pemilihan senarai
18 pemain terakhir skuad bola sepak negara hari ini ke Sukan SEA XX Brunei.
Jika berpegang kepada kenyataan
Rahman bahawa lapan hingga 12 pemain teras sudah ada dalam percaturannya sejak
menentang Arsenal lalu, majoriti tenaga ini hampir pasti meraih kepercayaan
sekali lagi.
Azmin Azram Aziz, B.
Rajinikandh, Rusdi Suparman, Shahrulazhar Sofian, V. Thinagaran, Nazri Yunos,
Yap Wai Loon dan Wan Rohaimi Ismail merupakan nama yang sukar ditolak daripada
senarai 18 terakhir itu.
Sejak Mei lalu, mereka inilah
yang sentiasa mengisi slot kesebelasan utama sepanjang siri perlawanan
persahabatan menentang Olimpik Iraq, New Zealand, Uzbekistan dan Myanmar.
Dan 10 tempat yang masih kosong
antaranya peranan penjaga gol kedua, tampak condong menjadi milik pemain
veteran, V. Murugan apabila mengambil kira prestasinya ketika berkunjung ke
Yangoon dan Uzbekistan.
Cuma yang mungkin menghidupkan
peluang Azlisham untuk memintas Murugan ialah usianya yang lebih muda sekali
gus mampu mendorongnya beraksi lebih tangkas.
Azlisham mengawal gawang Malaysia
yang menewaskan New Zealand 2-1 pada perlawanan pertama dan Murugan tidak
kurang hebat apabila cuma tewas satu gol ketika menentang naib juara liga
Uzbekistan, Samarkand.
Khairul Anuar Baharom, Syamsul
Amri Bakar dan Ahmad Shahruddin Rosdi serta Shahrulnizam Sahat pula tidak
kurang memikat apatah lagi Rahman kerap mengutamakan corak pantas yang mudah
dibawa oleh pemain yang berstamina tinggi.
Setelah ketiadaan Azman Adnan
akibat kecederaan, Rahman ternyata tidak punya banyak pilihan selain berharapkan
Azizul Kamaluddin untuk turut serta ke Brunei.
Manakala peluang penyerang
Olimpik 2000, Khalid Jamlus tetap ada biarpun Rahman pernah beranggapan,
persefahamannya dengan pemain senior lain masih sukar untuk dibentuk dalam masa
yang kian suntuk ini.
Setidak-tidaknya dengan Khalid,
Rahman boleh berwaspada jika timbul masalah kecederaan Azizul, Rusdi atau
Rohaimi ketika melayani cabaran Indonesia, Singapura, Brunei dan Kemboja dalam
kumpulan B Sukan SEA.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S41K5Mul
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan