ARKIB : 18/08/1999
MASIH ada pihak yang bersimpati
ketika bola sepak Malaysia dilanda 'darurat' ekoran kegagalan memalukan skuad
negara pada Sukan SEA XX Brunei yang baru berakhir, Ahad lalu.
Kementerian Belia dan Sukan
semalam menyuarakan kesediaan untuk membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) mencuci arang yang terpalit selama lima temasya berturut-turut itu sejak
Sukan SEA 1991.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin
Yassin berkata, kini terpulang kepada FAM untuk memberikan jawapannya sama ada
mahu dibantu oleh Majlis Sukan Negara (MSN) atau terus bersendirian meneruskan
usaha pembangunannya itu.
''Kita sedia bantu FAM jika
mereka membuka pintu. Penyusunan semula pembangunan bola sepak perlu dibuat
dalam usaha membentuk pasukan kebangsaan yang mantap.
''Dulu kita fikir FAM tidak
seperti persatuan sukan lain yang boleh bertindak tanpa bantuan sesiapa tetapi
kini banyak pihak yang kerap bercakap mengenai kegagalan Sukan SEA.
''Mungkin sudah tiba masanya
bantuan diberi agar peluang mewujudkan pasukan kebangsaan yang mantap menjadi
lebih besar.
''Seluruh struktur pembangunan
bola sepak perlu dirombak,'' katanya selepas merasmikan Kejohanan Golf Terbuka
Amatur Senior ASEAN ke-16 di Glenmarie Resort, Shah Alam, semalam.
Tegas beliau, jatuh bangun
pasukan bola sepak negara akan sentiasa menjadi perhatian ramai sekalipun sukan
itu cuma menawarkan sebutir pingat yang belum tentu warnanya.
''Orang takkan bising kalau
sukan lain tidak dapat pingat emas tapi ini berbeza dengan bola sepak kerana ia
merupakan sukan nombor satu negara,'' katanya lagi.
Beliau menambah, MSN yang
terbukti berkesan melaksanakan pembangunan banyak jenis sukan menerusi Program
Jaya '98, bersedia membantu FAM khususnya dari segi pencarian pemain yang berbakat.
''Ketika ini pemilihan pemain
kebangsaan begitu tertakluk kepada sistem lama. Mungkin dengan bantuan MSN,
kita akan beroleh produk yang lebih bagus,'' katanya lagi.
Skuad negara menutup tirai
penyertaan Sukan SEA sepanjang dekad 90-an ini dengan sentuhan kecundang
daripada sasaran untuk ke separuh akhir.
Aib lebih besar yang mengatasi
kekalahan kepada Laos (1997), tercatat pada Sukan SEA Brunei apabila Malaysia
dibelasah 0-6 oleh Indonesia dalam perlawanan peringkat kumpulan B.
Sebaliknya olahraga, renang,
lumba basikal, karate dan skuasy yang banyak mendapat bantuan MSN begitu
menyerlah dengan menyumbang sebahagian besar emas sepanjang temasya dwitahunan
itu.
Malah benih semaian MSN
menerusi Program Jaya sejak 1993, terbukti membuahkan hasil yang menakjubkan di
Brunei apabila Malaysia meraih 57 emas, 45 perak dan 42 gangsa - pencapaian
terbesar dalam sejarah Sukan SEA.
Bagaimanapun Muhyiddin
menambah, terlalu awal untuknya mengambil keputusan meniadakan terus bola sepak
daripada senarai acara pertandingan Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.
''Kita ada banyak masa lagi
untuk menetapkan acara Sukan SEA 2001. Ini masih perlukan perbincangan dengan
MSN tapi kemungkinan jumlahnya ialah antara 25 hingga 30 jenis sukan,''
katanya.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4S89HLgjQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan