Ahad, 4 Disember 2016

Malaysia tersungkur

ARKIB : 17/06/1999
HONG KONG - Malaysia jelas terlalu kerdil apabila tewas 0-4 kepada Jepun selepas mempamerkan aksi kurang memberangsangkan terutama dalam separuh masa kedua kejohanan pusingan pertama kelayakan Olimpik 2000 kumpukan enam (Zon Asia) di Stadium Hong Kong, semalam.

Hanya separuh masa pertama menyaksikan skuad Olimpik 2000 negara beraksi penuh bersemangat sehingga berjaya untuk sekurang-kurangnya melepaskan cuma satu jaringan sehingga berakhir 45 minit saingan.

Sebaliknya, persembahan separuh masa kedua menampakkan kelemahan pemain Malaysia yang bukan sahaja membiarkan permainan dikuasai Jepun, malah skuad handalan Asia itu juga menambah tiga lagi jaringan.

Jepun yang sebelum ini membelasah Filipina 13-0 sebelum menewaskan Nepal 5-0 turut memastikan pintu golnya belum dibolosi sehingga kini untuk terus mendahului kumpulan tersebut.

Skuad negara ''matahari terbit'' itu membuka tirai gol babak pertama menerusi Junichi Inamoto (minit 9), diikuti jaringan babak kedua oleh Masashi Motoyama (minit 46), Shinji Ono (minit 64) dan Kota Yoshihara (minit 70).

Permulaan menarik disajikan Malaysia yang memberikan saingan tetapi kesilapan panjaga gawang Jamsari Sabian membawa padah.

Kegagalan Jamsari menangkap bola hasil rembatan Tomoyuki Sakai menyaksikan bola yang muntah disepak masuk Inamoto pada minit ke 9.

Walaupun ketinggalan, Malaysia masih mampu meneruskan serangan tetapi pergerakan penyerang Khalid Jamlus dan Chow Chee Weng sering kali terbatas dibayangi pertahanan tegap Jepun, Yuji Yakazawa dan Tsuneyasu Miyamoto.

Keadaan fizikal pemain Jepun yang lebih tinggi dan tegap adalah di antara penghalang kemaraan Malaysia tetapi skuad Olimpik 2000 negara tetap mengasak.

Kesempatan terbaik terhidang apabila hantaran Chee Weng memerangkap Miyamoto yang menyangkakannya ''offside'' untuk memberi peluang kepada Khalid menguis bola melepasi penjaga gawang Hitoshi Sogahata namun percubaannya terkeluar pada minit ke 20.

Selepas hanya memperoleh satu jaringan dalam separuh masa pertama, Jepun melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Shunsuke Nakamura untuk digantikan pemain lincah Ono bagi meneruskan kemaraan babak kedua.

Kemasukkannya jelas ''menyuntik'' semangat pemain Jepun yang mengatur asakan pantas sehingga mengucar-ngacirkan benteng pertahanan Malaysia.

Hasilnya, Atsushi Yanagisawa berjaya melepasi kawalan S. Jaya Prakash sebelum membuat hantaran cantik untuk disudahi rembatan masuk Masashi Motoyama pada minit ke 46.

Kegarangan Jepun meneruskan asakan sekali lagi memaksa pemain pertahanan Malaysia melakukan kesilapan apabila Khairun Haled Masrom menjatuhkan Yanagisawa dalam kotak penalti skuad Olimpik 2000 negara.

Pengadil dari Singapura, Maidin Shamsul menghadiahkan sepakan penalti kepada Jepun yang mudah disepak masuk Ono pada minit ke 64.

Malang terus menimpa pasukan negara apabila pemain gantian Yoshihara dibiarkan kerana disangkakan ''offside'' membuat rembatan masuk enam minit kemudian untuk melengkapkan kemenangan 4-0 ke atas Malaysia.

Daripada: ZAINUL AZHAR ASHARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Rsp3ynZf © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan