Sabtu, 3 Disember 2016

FAM mahu lebih banyak jaringan unik


 

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap agar lebih ramai pemain tempatan berupaya melakukan jaringan ‘ajaib’ dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada masa akan datang.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar), jaringan luar biasa yang dihasilkan oleh pemain tengah Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri yang telah disenaraipendek untuk Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), bukannya yang terakhir untuk sejarah bola sepak Malaysia.

“Kami mahu melihat pemain-pemain yang beraksi dalam Liga M bekerja keras dan tampil lebih kreatif untuk mencipta jaringan menarik pada musim depan dan FAM pula tidak akan teragak-agak untuk menghantar pencalonan jika ada jaringan yang dihasilkan memenuhi kriteria untuk anugerah berprestij itu,” jelas Hamidin ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, jaringan luar biasa pemain tengah Pulau Pinang itu pada aksi Liga Super menentang Pahang pada 16 Februari lalu tersenarai dalam kelompok tiga teratas untuk Anugerah Puskas FIFA 2016 yang bakal berlangsung di Zurich, Switzerland, 9 Januari depan.

Selain Mohd. Faiz, dua lagi calon yang terpilih adalah pemain kelab Cortinthians dari Brazil, Marlone dan Daniuska Rodriguez (AFF San Diego/Venezuela).

Mengulas lanjut, Hamidin mengakui bahawa beliau teruja untuk menyaksikan lebih banyak gol yang menarik dicipta selepas ini, sekali gus memberikan imej positif terhadap bola sepak Malaysia.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Faiz dan di pihak FAM, kami berbangga kerana anak tempatan berjaya tersenarai untuk anugerah paling berprestij itu.

“Saya berharap gol Faiz bukannya yang terakhir (dihantar untuk Anugerah Puskas) kerana saya mahu menyaksikan lebih banyak gol-gol yang menarik dan cantik dicipta pada musim depan.

“Kejayaan Faiz ini secara tidak langsung akan memberikan lagi semangat dan inspirasi buat pemain-pemain lain supaya tidak takut mencuba dan melakukan sesuatu perkara baharu. Jadi, saya berharap FAM dapat menghantar lagi pencalonan musim depan,” kata Hamidin lagi.

Sebelum ini, pemain kelahiran Air Hitam, Kedah itu tersenarai antara 10 pemain terbaik selepas menjaringkan gol menarik menerusi sepakan percuma unik dari jarak kira-kira 32 meter sewaktu beraksi bersama Pulau Pinang pada perlawanan Liga Super menentang Pahang yang menyaksikan mereka menang 3-0.

Gol hasil sepakan percuma yang melengkung masuk ke dalam gawang Pahang pada minit ke-62 itu mendapat sanjungan ramai sehingga menjadi ‘trending’ di laman sosial Twitter dan turut mendapat liputan daripada laman berita dalam talian British Independent.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4Rp33XsoD Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan