Selasa, 6 Disember 2016

Malaysia elak tempat tercorot

ARKIB : 03/07/1999
PENYERANG Malaysia, Khalid Jamlus (kiri) melepaskan rembatan deras sambil disaingi oleh pemain pertahanan Filipina, Dan David Orbeta pada perlawanan pusingan kedua kelayakan Olimpik kumpulan enam Asia di Tokyo, semalam. Malaysia menang 5-0. - Gambar Reuters.

SKUAD Olimpik 2000 Malaysia bangkit mencapai kemenangan sulung pada pusingan kedua kelayakan bola sepak Sukan Olimpik dengan mengganyang Filipina 5-0 di Stadium Nasional, Tokyo, semalam.

Kemenangan ini sekadar mengelak Malaysia daripada menghuni tempat tercorot kumpulan enam Asia biarpun sepatutnya mampu membenam Filipina dengan jaringan yang lebih besar.

Ia juga merupakan kemenangan kedua Malaysia daripada tujuh perlawanan keseluruhan, selepas membelasah lawan yang sama 6-1 ketika pusingan pertama di Hong Kong lalu.

Rosle Derus mencatat hatrik menerusi gol pada minit ke-28, 36 dan 62 manakala Akmal Rizal Rakhili menambah jaringan Malaysia, minit ke-61 dan 71.

Menurut laporan AFP, jurulatih Malaysia, Hatem Souissi mengalu-alukan kemenangan itu walaupun turut berpendapat, ia tiba agak lewat.

''Kami sasarkan tempat kedua kumpulan tetapi selepas kalah kepada Hong Kong, mustahil untuk Malaysia mencapainya lagi,'' kata Hatem.

Cuma Nepal menjadi lawan terakhir Malaysia esok.

Kedua-dua pasukan seri 1-1 pada perlawanan yang dicemari serangan penonton di Hong Kong lalu.

Gol pertama Rosle muncul menerusi sepakan kaki kanannya selepas menerima umpanan Shawal Johadi.

Rosle memperdayakan penjaga gol lawan, Francis Paranpan untuk gol kedua sebelum mencipta hatrik menyudahi hantaran Tengku Hazman Raja Hassan.

Jepun selaku juara kumpulan ini sudah pun menjamin tempatnya ke pusingan kelayakan terakhir, menyertai Korea Selatan, China, Qatar, Kuwait, Bahrain dan Kazakhstan. Jepun semalam menewaskan Hong Kong 2-0 menerusi jaringan Nakamura dan Hirase.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kecewa dengan prestasi hambar skuad Olimpik 2000 ini.

Katanya, pasukan itu sepatutnya menunjukkan pencapaian yang lebih baik berdasarkan latihan intensif yang dijalani sebelum ini.

Pasukan itu dibentuk kira-kira empat tahun lalu dengan pelaburan RM6 juta malah pernah menyertai Kejohanan Belia Dunia pada 1997.

''Saya rasa agak kecewa dengan prestasi pasukan negara. Kedudukan kita masih di bawah,'' katanya kepada Bernama di Machang, semalam.

Muhyiddin menambah, kementerian sedang menunggu langkah seterusnya yang akan diambil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membangunkan skuad negara pada masa depan.

''FAM sudah mengadakan seminar bertujuan memperbaiki skuad kebangsaan. Jadi kita tunggu apakah tindakan yang mereka akan buat selepas ini,'' katanya

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S34nDiMr © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan