Selasa, 6 Disember 2016

FAM tidak tunai janji - Hasan

ARKIB : 10/07/1999
SEORANG peserta seminar bola sepak kebangsaan di Shah Alam bulan lalu, Hasan Tan Sri Sulaiman terkejut apabila mendapati rumusan seminar itu tidak dikemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Sukan Negara (MSN), lapor TUKIRAN KITAM.

''Saya amat terkejut apabila Tan Sri Muhyiddin sendiri mengakui tidak menerima sebarang maklum balas mengenai rumuasan seminar sehari itu seperti diluahkan dalam kenyataannya kelmarin.

''Ini buktikan jangkaan saya bahawa seminar sehari anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu sebagai satu cubaan melepas batuk di tangga benar menjadi kenyataan,'' tegasnya kepada Sukan Utusan di Muar semalam.

Sambil menyokong teguran ikhlas Muhyiddin terhadap sikap acuh tak acuh FAM dalam membangun skuad kebangsaan Hasan berpendapat, jika inilah sikap pemimpin-pemimpin FAM, sampai bila-bila pun mutu bola sepak negara tidak akan sampai ke tahap sebagaimana diimpikan semua pihak selama ini.

Apa yang mengecewakan kata beliau, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sendiri memberi pengakuan akan menghantar rumusan mengenai seminar sehari itu kepada Muhyiddin dan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam tempoh terdekat.

''Malahan beliau sendiri mengakui kelemahan-kelemahan skuad kebangsaan dan menyerahkan kepada kami peserta seminar untuk mencari jalan bagaimana membangun semula bola sepak negara.

''Kami telah berjaya merumus lebih 100 cara untuk mengatasi kebuntuan dalam usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak negara ini,'' tambah Hasan.

Malangnya kata beliau, rumusan-rumusan tersebut tidak mendapat perhatian sewajarnya sebagaimana dijanjikan oleh pimpinan FAM.

Ini bermakna katanya, usaha peserta memerah minda untuk membuat rumusan dan berbincang dalam tempoh yang terhad itu menjadi sia-sia sahaja.

''Kalau inilah jadinya, adalah lebih baik diadakan satu dialog terbuka anjuran Majlis Sukan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan untuk merombak semula pasukan negara.

''Bekas-bekas pemain, jurulatih di semua peringkat termasuk Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia parlu dijemput bersama membincangkan cara terbaik membangun bola sepak negara,'' tambah beliau.

Kepada Naib Presiden FAM, Raja Ahmad Zainudin yang juga pengurus Pasukan negara beliau meminta agar pemimpin FAM itu tidak membuat andaian melulu terhadap teguran ikhlas Muhyiddin dalam hal bola sepak

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4S3NMn66E © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan