Ahad, 11 Disember 2016

Sathia untung bawah Harris


 

ARKIB : 06/11/1999
ALAN J. Harris (baju belang) memberikan arahan kepada barisan pemain skuad Bawah 19 Tahun Malaysia pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. Membongkok di sebelahnya ialah B. Sathianathan, penolong jurulatih. - Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH.

PELANTIKAN Allan J. Harris selaku ketua jurulatih pasukan Bawah 19 Tahun Malaysia dianggap sebagai satu langkah yang membina dan banyak mendatangkan manfaat kepada penolongnya, B. Sathianathan.

Ia sekali gus menolak tanggapan bahawa kehadiran Harris menyinggung perasaan Sathianathan setelah cuma diberi peluang membimbing pasukan itu untuk tempoh yang singkat.

''Tidak timbul soal saya diturunkan pangkat. Kedatangan Harris sebaliknya memberikan peluang kepada saya membaiki diri.

''Lagipun Harris seorang jurulatih yang berpengalaman luas. Banyak kelab antarabangsa yang dibimbingnya.

''Antaranya kelab Barcelona (1984-87) dan Diego Maradona sendiri merupakan salah seorang pemain yang pernah mendapat asuhannya.

''Sudah pasti banyak boleh saya timba daripadanya,'' kata Sathianathan yang kini menjadi penolong Harris.

Harris, 57, dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 15 Oktober lalu untuk membimbing pasukan bawah 19 negara pada 15 Oktober lalu di bawah ikatan kontrak selama setahun.

Sebagai pemain sejak akhir 50-an, Harris pernah mewakili kelab England seperti Chelsea, Coventry, Queens Park Rangers (QPR) dan Plymouth.

Manakala kerjaya pengurusannya turut melibatkan kelab Crystal Palace (1976-80), Espanyol dan Barcelona (1980-84) selain sempat berkhidmat di Mesir dan Kuwait.

Ketika di Crystal Palace, Harris juga pernah berkhidmat sebagai penolong Terry Venables, bekas pengurus skuad kebangsaan England.

Sathianathan, 41, berkata, usianya juga masih muda dan ada banyak masa lagi menantinya sebelum diamanahkan tugas membimbing sesebuah pasukan.

''Saya dapati sistem yang Harris amalkan berlainan, bukannya corak Britain walaupun itulah negara asalnya.

''Yang bagusnya, saya sendiri boleh mempelbagaikan cara kejurulatihan - menambah apa yang saya miliki ketika ini,'' katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Sathianathan sudah pun memiliki Lesen A Kejurulatihan selain pernah dihantar bagi pendedahan di Brazil.

Sebelum ini, bekas pemain Negeri Sembilan itu bertindak sebagai penolong kepada jurulatih Olimpik 2000, Hatem Souissi selama hampir lima tahun.

Pasukan Bawah 19 Malaysia ini dibentuk bagi menghadapi Kejohanan Belia Asia anjuran Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) pada tahun depan.

Malaysia diletakkan dalam kumpulan sembilan bersama-sama Korea Selatan, Singapura, Macau dan Filipina.

Harris dijangka dapat menilai kemampuan awal anak buahnya itu apabila pasukan belia negara ini menghadapi sebuah kelab dari Jepun dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) pada 20 November ini.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SaflGxpR © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan