Selasa, 6 Disember 2016

Pak Lah arah FAM siasat -- Dibelasah Indonesia 6-0


 

ARKIB : 04/08/1999
ABDULLAH (dua dari kanan) menerima kenyataan sokongan padu daripada seorang wakil Majlis Praolympik Malaysia (MPM) pada majlis pelancaran penawaran Malaysia untuk Sukan Asia 2006 di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Tunku Imran (kanan) dan Muhyiddin Yassin.

DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan 'bedah siasat' secara menyeluruh terhadap pasukan bola sepak kebangsaan ekoran kekalahan mengaibkan di Sukan SEA XX di Brunei semalam.

Tegas Timbalan Perdana Menteri: ''Bagi sebuah negara seperti Malaysia yang mempunyai banyak kemudahan sukan yang maju, saya tidak nampak mengapa kita boleh jadi begitu merosot.''

Secara sinis Abdullah yang merujuk kepada slogan 'Malaysia Boleh' berkata: ''(Kekalahan) itu tandanya kurang boleh la tu.''

Dalam perlawanan kedua semalam, Indonesia membelasah Malaysia 6-0 dan sekali gus menyempitkan peluang bola sepak kebangsaan ke separuh akhir setelah tewas 1-2 kepada Singapura, Sabtu lalu.

''Bola sepak merupakan sukan paling popular di negara ini, malah banyak wang telah dilaburkan oleh kerajaan dan swasta bagi menaikkan taraf sukan itu di peringkat antarabangsa,'' katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen penawaran sebagai tuan rumah kepada Sukan Asia 2006, di Kuala Lumpur, semalam.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi buruk skuad bola sepak negara yang sudah lima kali gagal untuk melayakkan diri ke separuh akhir acara bola sepak dalam sukan dwitahunan itu.

Oleh itu menurut Abdullah, adalah menjadi tanggungjawab FAM untuk menilai semula sistem yang ada secara menyeluruh selepas pasukan negara dibelasah teruk.

''Saya percaya kalau diberi perhatian dan kalau ini dijadikan masa untuk buat 'post mortem' terhadap permainan bola sepak secara menyeluruh, mungkin ia dapat membantu menaikkan prestasi negara dalam permainan ini,'' katanya.

Menurut beliau, bola sepak dimainkan di negara ini sejak sekian lama dan dianggap sebagai permainan rakyat kerana ia mempunyai pengikut paling ramai.

Malah kata beliau, promosi besar-besaran yang dibuat oleh kerajaan dan juga swasta membolehkan persatuan sukan itu mengumpulkan wang yang banyak melalui penajaan.

''Oleh itu ada baiknya ambil kesempatan ini cubalah baiki (kelemahan), saya percaya apa yang perlu dibuat ialah menilai semula sistem yang ada,'' katanya.

Kekalahan kepada Indonesia itu juga merupakan yang terburuk pernah dialami oleh pasukan kebangsaan yang dibentuk semula Disember lalu di bawah bimbingan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim selepas dibubarkan sebaik sahaja mencipta satu lagi kekalahan memalukan pada temasya yang sama di Jakarta 1997.

Malah kali terakhir Malaysia memenangi emas ialah pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun beliau bukan seorang ahli sukan tetapi beliau percaya kejayaan boleh dicapai jika mereka yang terlibat berusaha bersungguh-sungguh dan mempunyai disiplin yang tinggi.

''Saya bukan ahli (dalam permainan) bola sepak, tetapi kalau kita tidak boleh menang dan kita lemah ertinya kena latih lagi.

''Kalau kita kata kita sudah maju tetapi masih kalah mungkin negeri lain lebih maju, jadi kita kena tengok orang lain kerana mereka juga berusaha untuk memajukan sukan mereka,'' kata beliau.

Mengenai usaha kerajaan memberi tumpuan kepada acara sukan, beliau berkata, bidang itu bukan sahaja untuk tujuan riadah tetapi ia merupakan satu industri yang boleh memberi sumbangan kepada ekonomi negara.

Di samping itu katanya, melalui acara sukan ia boleh mengeratkan perpaduan dan semangat muhibbah di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini serta dapat memperkenalkan negara di peringkat antarabangsa.

Ditanya kemungkinan pembangkang akan menggunakan kempen penawaran oleh Malaysia untuk menjadi tuan rumah pada temasya Sukan Asia ke-15 sebagai isu politik untuk menghadapi pilihan raya, Abdullah menegaskan: ''Apa benda yang kita buat elok kepada pembangkang? Semuanya tidak elok dan membazir.''

Beliau menambah, melalui acara seperti itu ia dapat membantu mempromosikan Malaysia sama ada untuk tujuan pelancongan atau tujuan lain.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S4PmPDTd © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan