ARKIB : 06/08/1999
RAPTAI penuh sempena pembukaan
Sukan SEA XX cukup meriah dan turut disaksikan beratus penduduk di sekitar
Bandar Seri Begawan, semalam. Upacara pembukaan rasmi temasya edisi ke-20 ini
akan diadakan malam esok oleh Sultan Brunei.
KURANG semangat berpasukan
dikenalpasti sebagai punca persembahan buruk pasukan bola sepak negara di mana
pemain saling salah menyalahkan antara satu sama lain.
Penolong Pengurus Pasukan
Kebangsaan, Datuk Jamal Abdul Nasir Ismail yang menolak kemungkinan berlakunya
rasuah berkata, punca itu dikenalpasti semasa pertemuan pemain dengan Timbalan
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdulllah Sultan Ahmad
Shah semalam.
''Semasa pertemuan itu, barulah
timbul pemain senior tidak berpuas hati dengan persembahan pemain junior,
sehingga menyebabkan mereka tidak bermain sebagai satu pasukan,'' katanya
ketika dihubungi di Brunei, semalam.
Tambahnya, ada kalangan pemain
yang didapati masih tidak bersedia dari segi mental dan tidak memahami
permainan bola sepak termasuk tidak dapat membaca permainan.
''Kita tanya pemain jika mereka
berada dalam keadaan bertahan contohnya, apa yang mereka perlu lakukan, ada
lagi yang masih tidak memahami tugas mereka.
''Kalau hanya dua atau tiga
pemain yang memberi komitmen, manakala yang lain hanya mencukupkan kesebelasan
bagaimana kita hendak berjaya,'' katanya.
Jamal menafikan
sekeras-kerasnya para pemainnya terlibat dalam rasuah kerana kontinjen bola
sepak kali ini turut disertai oleh pegawai polis.
''Kita juga telah mendapatkan
maklumat dari Bahagian Maksiat dan Perjudian Ibu Pejabat Polis Bukit Aman jika
mereka mempunyai sebarang maklumat berhubung perbuatan tersebut, tetapi tidak
ada,'' katanya.
Tambahnya, adalah tidak adil
jika setiap kali pasukan negara memberi persembahan yang buruk, rasuah sering
dijadikan alasan tanpa melihat dengan lebih mendalam aspek kelemahan pemain.
Ketika ditanya tentang
penglibatan pihak istana dalam pengurusan FAM, kata Jamal, adalah tidak benar
jika kelemahan pasukan kebangsaan dikaitkan dengan penglibatan istana dalam
badan induk bola sepak negara.
Katanya, pasukan Pahang,
contohnya diterajui oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad
Shah jelas mempunyai prestasi yang cukup baik dalam persaingan Liga Perdana.
Sementara itu di Johor Bahru, Naib
presiden FAM, Datuk Dr Ibrahim Saad berkata, pemain-pemain bola sepak negara
sepatutnya bersikap profesional dan tidak emosi.
''Sebagai pemain profesional
kita perlu terbuka dan sedia menerima teguran dan kritikan,'' katanya kepada
pemberita selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
negeri, di Taman Daya di Johor Bahru.
Ibrahim mengulas tindakan
seorang pemain kebangsaan, Khairul Anuar Baharom yang bertindak menunjukkan
isyarat lucah kepada sekumpulan wartawan Malaysia ketika dalam perjalanan
keluar dari Kompleks Sukan Nasional Hassanal Bolkiah, petang kelmarin.
Kejadian itu berlaku selepas
skuad negara menewaskan Kemboja 7-2 dalam perlawanan kumpulan B bola sepak
Sukan SEA.
Oleh: BORHAN ABU SAMAH
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S7adIjZi
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan