ARKIB : 25/07/1999
NASIB empat pemain yang bakal
digugurkan daripada skuad bola sepak negara ke Sukan SEA XX di Brunei akan
ditentukan esok, namun prestasi kurang meyakinkan beberapa pemain dijangka
menjadi tumpuan buat ketua jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim, lapor SAADON
JAAFAR.
Abdul Rahman akan membuat
keputusan terakhir, sekali gus mengumumkan senarai 18 pemain bagi membawa
cabaran negara pada temasya di Brunei, di Wisma FAM, Kelana Jaya, esok.
Ketika ini 22 pemain sedang
mengikuti latihan persiapan ke temasya edisi ke-20 di Brunei, termasuk empat
pemain yang dibelenggu kecederaan iaitu Rusdi Suparman, Wan Rohaimi Wan Ismail,
Ahmad Shahruddin Rosdi dan Mohd. Nazri Yunos.
Begitupun, kecederaan yang
dialami mereka tidak serius dan dijangka pulih menjelang temasya itu dan ini
bermakna keempat-empat pemain mungkin tidak berada dalam senarai pengguguran.
Namun, prestasi kurang
meyakinkan beberapa pemain mungkin menjadi alasan pengguguran. Antara pemain
yang didapati kurang menyerlah termasuk dua wakil Johor, Bakhtiar Othman dan
Idris Karim, Mohd. Nizaruddin Yusuf dan Mohd. Imran Ahmad (Kuala Lumpur),
tetapi semua keputusan kini di tangan Abdul Rahman.
Dari segi penjaga gol, setakat
ini dua pemain sedang dalam pemerhatian iaitu Azmin Azram Abdul Aziz dan V.
Murugan dari Perak.
Jurulatih penjaga gol, Lim
Chuan Chin berkata, walau pun terdapat perbezaan dari segi pengalaman antara
kedua-dua pemain, namun ia bukan kriteria dalam menempatkan mereka sebagai
penjaga gol utama Malaysia.
''Azmin jika dibandingkan
dengan Murugan nyata kurang dari segi pengalaman, tetapi dia merupakan pemain
yang sedang meningkat naik.
''Dia juga penjaga gol yang
paling konsisten sepanjang cabaran dalam Liga Perdana ketika mewakili Negeri
Sembilan baru-baru ini,'' katanya.
Menurut Lim, keputusan memilih
penjaga gol utama itu terpulang kepada Abdul Rahman, tetapi tidak menolak
peluang Azmin untuk muncul dalam kesebelasan utama menentang Singapura pada
pertemuan pembuka tirai Malaysia di Brunei, 31 Julai ini.
''Selaku penjaga gol
berpengalaman, Murugan sepatutnya mempunyai lebih keyakinan diri. Itu yang
nampaknya kami sedang mantapkan.
''Soal penjaga gol utama,
terserah kepada ketua jurulatih, saya hanya menjalankan tanggung jawab memberi
pendedahana terbaik kepada kedua-dua tanpa pilih kasih,'' tambahnya.
Kata Lim lagi, Abdul Rahman
mungkin akan memanggil semula Azlisham Ibrahim yang lebih dikenali sebagai Boy
atau penjaga gol lain yang disifatkan mampu memikul cabaran.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4S3zxLHzq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan