Selasa, 6 Disember 2016

Rudie, Fadzli berlatih di Jerman

ARKIB : 22/07/1999
RUDIE Ramli (kiri) dan Mohd. Fadzli Shaari (kanan) yang diberi peluang menimba ilmu bola sepak di Jerman bersama kelab Bayern Munich dan SV Wehen, bergambar bersama Holger Obermann pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.

PENYERANG muda Selangor, Rudie Ramli dan pemain tengah Pahang, Mohd. Fadzli Shaari bakal menimba ilmu paling berharga dalam bola sepak apabila dipilih menyertai latihan dengan kelab terkemuka Jerman, Bayern Munich dan SV Wehen yang terkenal dengan program remaja yang cemerlang, lapor JOHARI SHAWAL.

Rudie, 17, pemain termuda skuad Liga Perdana Selangor akan berlatih bersama kelab juara Bundesliga, Bayern Munich manakala Fadzli, 16, yang beraksi dengan pasukan bawah 19 tahun Pahang, bakal bersama SV Wehen, kelab divisyen tiga liga Jerman selama kira-kira enam minggu.

Penyertaan kedua-dua pemain remaja itu dikendalikan oleh Penasihat Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Holger Obermann dan bahagian sukan Kementerian Pendidikan.

Rudie, pemain remaja terbaik tahun lalu, akan menyertai latihan bersama skuad A-Juniors Bayern Munich selain berpeluang menyaksikan perlawanan-perlawanan antarabangsa membabitkan pasukan senior kelab itu.

Dia juga berpeluang bertemu Presiden Bayern yang juga bekas pemain antarabangsa Jerman, Franz Beckenbauer selain Karl-Heinz Rummenigge, Gerd Muller dan Sepp Maier.

Rudie akan tinggal bersama bekas pemain kebangsaan, Lim Teong Kim, yang kembali ke Munich selepas setahun menabur khidmat dengan FAM.

Manakala Fadzli, pemain remaja terbaik 1999, akan menyertai pasukan semi-profesional, SV Weven.

Penyertaan Fadzli di Weven hanya sebagai latihan ujian tetapi pemain tengah itu berpeluang diserap dalam kelab itu selama setahun jika berjaya.

Obermann pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam berkata, penyertaan dua pemain itu diharap dapat memberikan pendedahan dan pengalaman bermakna bagi kedua-dua pemain itu.

''Walaupun tempoh latihan yang diterima begitu pendek, sekurang-kurangnya ia dapat mengubah visi dan kefahaman pemain itu tentang bola sepak moden,'' ujar Obermann.

Katanya, kedua-dua pemain ini dipilih berdasarkan persembahan cemerlang ketika beraksi bersama pasukan masing-masing.

Sebelum ini, bekas penyerang Olimpik 2000 dari Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Rafiz Abu Bakar diberi peluang berlatih bersama kelab itu tahun lepas juga atas kendalian Obermann dan telah membuktikan ilmu yang ditimba di sana tidak sia-sia.

''Kita harap dapat melahirkan beberapa lagi pemain yang mampu mengubah senario bola sepak negara ini satu ketika nanti,'' tambah Obermann.

Dua pemain itu yang turut hadir pada sidang akhbar semalam berkata, mereka gembira diberi peluang besar seumpama itu dan berjanji tidak akan mensia-siakannya.

''Saya harap pengalaman di sana nanti dapat dijadikan batu loncatan untuk saya meningkatkan permainan,'' kata Rudie.

Manakala Fadzli berkata, inilah peluang terbaik baginya untuk meningkatkan diri selain memahami corak sebenar bola sepak moden.

Rudie dan Fadzli pernah bersama pasukan kebangsaan bawah 14 tahun yang dikendali Obermann untuk Kejohanan Piala Nike Asia Pasifik.

Rudie bersama pasukan yang muncul naib juara pada 1996 manakala Fadzli bersama pasukan yang menjuarai kejohanan dua tahun kemudian.

Kedua-dua pemain itu berlepas ke Jerman malam tadi bersama Obermann.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S3tWYJcu © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan