Isnin, 5 Disember 2016

Kenangan pahit skuad Olimpik di Hong Kong

ARKIB : 22/06/1999
HONG KONG - Penutup tirai pusingan pertama Kelayakan Bola Sepak Olimpik 2000 Kumpulan Enam (Zon Asia) membawa kenangan cukup pahit buat Malaysia selepas pemburuan tempat terbaik berakhir dengan 'tragedi' di Stadium Hong Kong, kelmarin.

Tumpuan untuk memburu tempat kedua di belakang Jepun yang kini menguasai kejohanan pusingan pertama itu ditenggelami peristiwa pemain di belasah penonton dalam perlawanan di antara Malaysia dengan Nepal.

Perlawanan yang dibatalkan berikutan kejadian itu jelas menjejaskan sedikit persediaan skuad negara yang mengakhiri saingan pusingan pertama sebelum membawa cabaran peringkat kedua di Tokyo, bermula pada 26 Jun ini.

Keseluruhannya, sepanjang pusingan pertama, persembahan skuad Olimpik 2000 negara tidak begitu buruk tetapi berdepan tugas yang berat kerana perlu memenangi perlawanan terakhir menentang Nepal untuk menduduki tangga kedua.

Hanya kedudukan Jepun di tangga pertama sukar digugat selepas memenangi kesemua empat perlawanan termasuk menewaskan Filipina 13-0 sedangkan pemburuan tangga kedua terbuka luas.

Inilah tekanan dihadapi Malaysia yang sebelum itu seri 2-2 dengan Hong Kong, tewas 0-4 kepada Jepun dan menang 6-1 ke atas Filipina bagi merebut tempat kedua pusingan pertama sebagai bekalan ke Tokyo.

Sementara, Nepal yang memenangi dua perlawanan, mengatasi Hong Kong 2-1 dan mengalahkan Filipina 1-0 tetapi tewas 0-5 kepada Jepun lebih berpeluang sekiranya mampu untuk mengikat Malaysia.

Malangnya, perlawanan sengit yang dijangka menghiburkan dicemari tindakan penyokong Nepal sehingga membawa kepada kecederaan pemain Malaysia.

Kecederaan menimpa tiga pemain skuad Olimpik 2000 negara yang dikejarkan ke hospital akibat dibelasah penyokong Nepal memberi pengalaman baru, hasil kelalaian 'pihak lain.'

Tiga pemain Malaysia cedera akibat kegagalan pihak berkuasa bertindak pantas menyekat 200 penyokong menyerbu ke dalam padang selepas Nepal memperolehi jaringan penyamaan dua minit sebelum permainan berakhir.

Kejadian itu menimbulkan persoalan, bagaimana penonton mudah memasuki padang selain mutu kawalan keselamatan tidak memuaskan, sesuatu yang sukar berlaku di negara lain terutama Malaysia.

Selain Persatuan Bola Sepak Hong Kong (HKFA) perlu memikul tanggungjawab sebagai penganjur yang gagal menjamin aspek-aspek keselamatan di stadium itu, Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) wajar dipersalahkan.

Apakah bentuk penelitian AFC atau FIFA terhadap keupayaan Hong Kong menjadi penganjur pusingan pertama ini.

Dalam kejadian kelmarin, Rafdi Rashid cedera di bahagian pinggul manakala dua lagi rakan sepasukan, Megat Amir Faisal Ibrahim dan Mohd. Sany Muhammad Fahmi mengalami beberapa kecederaan akibat dibelasah penyokong Nepal.

Penyokong Nepal menyerbu ke dalam padang untuk meraikan jaringan penyamaan Anil Subbha, dua minit sebelum permainan tamat selepas Rafdi terlebih dahulu memperoleh gol minit ke 74.

Bagaimanapun, keadaan tidak dapat dikawal apabila mereka bertindak memukul dan menendang pemain serta pegawai pasukan Malaysia yang terpaksa mencari perlindungan selepas pihak berkuasa lambat bertindak.

Selain berdepan tugas berat memburu kedudukan tangga kedua di Jepun, kejadian di Hong Kong pasti menjejaskan persediaan pemain negara yang mengalami kecederaan.

Hatem Souissi berkata, ramai pemain Malaysia cedera dalam kejadian tersebut yang dianggapnya sebagai sejarah 'hitam' sepanjang kariernya sebagai jurulatih bola sepak.

''Enam pemain saya dipukul, saya belum tahu sejauh mana kecederaan mereka terutamanya Rafdi,'' kata beliau.

Hatem berkata, beliau kecewa kerana pihak berkuasa gagal menyekat penyokong Nepal daripada memasuki padang untuk membelasah pemain dan pegawai pasukan Malaysia.

Pastinya semakin berat beban Hatem, daripada berdepan skuad handalan seperti Jepun, perebutan tangga kedua juga bertambah rumit, berpunca peristiwa 'hitam' yang sepatutnya lebih cepat ditangani. - Utusan.

Daripada: ZAINUL AZHAR ASHARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RwtzxPcS © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan