Selasa, 6 Disember 2016

Gandingan Azizul-Rohaimi perlu diuji

ARKIB : 03/07/1999
KEKOSONGAN penyerang berbisa skuad negara tampak sudah terisi menerusi kemenangan bergaya 2-1 Malaysia ke atas New Zealand pada perlawanan bola sepak persahabatan di Shah Alam, kelmarin.

Gandingan Wan Rohaimi Ismail-Azizul Kamaluddin mula membayangkan potensi sekali gus menjadi jawapan jitu buat jurulatih Abdul Rahman Ibrahim yang baru kehilangan khidmat Azman Adnan akibat kecederaan.

Tidak keterlaluan jika dua gol Rohaimi dan Azizul patut dirakam sebagai jaringan bersejarah apatah lagi ia mencatat kemenangan sulung Malaysia di arena antarabangsa sejak 'terpencil' dua tahun lalu.

Ternyata bermain tanpa tekanan kelmarin banyak membantu skuad negara melangkah yakin biarpun pengukur kemampuan pemain sebenarnya menanti sebulan lagi pada Sukan SEA XX Brunei. Azizul sudah membalas pemberian peluang kedua oleh Rahman setelah pernah dicap 'budak nakal' satu ketika dulu ketika dipanggil menjalani latihan skuad negara.

Rohaimi pula kian matang - bertolak daripada pengalaman menentang kelab gergasi Arsenal, Mei lalu, menerusi gol kedua yang merentap juara Oceania di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Paling menarik ialah kemampuan tenaga perancang, Yap Wai Loon yang menyangkal kemungkinan aksinya sudah 'berkarat' setelah sekian lama tersisih daripada saingan Liga Perdana dan Piala FA.

Suatu kejayaan manis apabila membenam skuad Kiwi yang layak menyertai Piala Gabungan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tetapi skuad negara tidak patut memanjangkan tempoh bergembira itu.

Buat Rahman sendiri, menggilap pasukan dan mencari persefahaman pemain masih menjadi keutamaan agendanya - jauh sama sekali untuk cepat berbangga atau mendabik dada.

''Ada enam perlawanan persahabatan lagi untuk saya menentukan barisan serangan sebelum ke Brunei.

''Gandingan Azizul-Rohaimi di samping Rusdi (Suparman) masih perlu diuji lagi. Kini cuma tinggal mereka bertiga selepas Azman hampir pasti tidak dapat ke Brunei,'' kata Rahman.

Baru-baru ini, skuad negara mengundang keraguan banyak pihak apabila cuma terselamat dengan sepakan penalti sebelum mengikat Olimpik Iraq 1-1, bulan lalu.

Bagaimanapun, Rahman tetap berpuas hati dengan aksi anak buahnya kelmarin sambil mengakui ada paparan kemajuan berbanding menentang Iraq lalu.

''Pemain mula memahami keperluan saya dan bola sepak moden. Corak permainan mereka tersusun dan pantas walaupun tampak letih dan kembali ke tabiat lama pada babak kedua,'' katanya.

Pertemuan ulangan dengan New Zealand malam ini, memilih Stadium Merdeka sebagai gelanggang sebelum skuad negara menjelajahi Uzbekistan dan Myanmar untuk beberapa siri perlawanan, minggu depan.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

SUBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4S36i0hdD © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan