Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kuota pemain
import Liga Malaysia (Liga-M) kekal dengan empat pemain musim depan meskipun
ada pihak menganggap kehadiran mereka menjadi antara punca kemerosotan prestasi
pemain kebangsaan.
Kebanyakan pasukan sanggup
berbelanja besar bagi mendapatkan pemain import berkualiti sehingga menyebabkan
pemain tempatan khususnya di posisi penyerang gagal mendapat tempat dalam skuad
utama.
Bagaimanapun tiada perubahan
kepada kuota empat pemain itu kecuali peraturan satu slot pemain dari Asia itu
diberi sedikit kelonggaran Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia
(FMLLP).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif
FMLLP Kevin Ramalingam, semua pasukan dibenarkan mengambil pemain import dari
liga divisyen dua dari negara Asia yang menduduki ranking 50 terbaik dunia.
“Kalau dulu mengikut peraturan
pemain import dari Liga Jepun iaitu J2 (Liga 2 Jepun) misalnya tidak dibenarkan
kerana kita hanya benarkan pemain divisyen utama saja.
“Tapi kali ini kita sudah
rangka semula cara untuk meluluskan pemain import iaitu kalau pemain itu dari
pasukan Asia 50 terbaik dalam ranking FIFA maka kita benarkan pemain dari
divisyen dua,” katanya.
Kevin berkata, perkara itu
mendapat maklum balas baik daripada semua pasukan kerana dapat meluaskan
pencarian pemain import berkualiti namun dengan bayaran lebih rendah.
“Penilaian ranking negara Asia
itu kita ambil kira dari 12 bulan sebelum bukannya ‘transfer window’ (tempoh
perpindahan pemain). ‘Transfer window’ Liga Malaysia adalah pada 30 Oktober
jadi ranking negara itu akan diambil kira dari tahun lalu, jadi mungkin pemain
dari Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi (liga divisyen dua), misalnya boleh didaftarkan.
“Kita nak perbesarkan pilihan
pemain, kita lihat pemain dari J2 yang memiliki kemahiran teknikal baik dan
bagus bermain dalam liga kita. Malah dari segi gaji, pemain ini kosnya tidak
tinggi seperti pemain J1,” jelasnya.
Liga-M bakal bermula 20 Januari
depan dengan perlawanan Sumbangsih mempertemukan juara Liga Super Johor Darul
Ta’zim (Johor DT) dengan pemenang Piala Malaysia Kedah di Larkin.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 11:14 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan