ARKIB : 26/10/1999
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia
(FAM) memerlukan masa untuk meneliti dakwaan jurulatih Perak, Karl Heinz
Weigang bahawa badan induk itu masih berhutang dengannya ketika dia menjadi
jurulatih kebangsaan, 18 tahun lalu.
Penolong Setiausaha FAM, Yap
Nyim Keong berkata, badan induk itu perlu memeriksa rekod-rekod lama bagi
memastikan kesahihan dakwaan jurulatih Jerman itu.
''Perkara itu berlaku 18 tahun
lalu. Ketika itu, FAM dibarisi pemimpin yang berbeza dengan Tan Sri Hamzah Abu
Samah sebagai presiden, Datuk Paul Murugesu sebagai setiausaha dan Datuk Teoh
Chye Hin sebagai bendahari.
''Apa yang boleh kami lakukan
sekarang adalah memeriksa rekod-rekod ketika itu untuk memastikan kebenaran
dakwaan Weigang ini,'' katanya yang dihubungi, semalam.
Nyim Keong berkata demikian
ketika diminta mengulas dakwaan Weigang bahawa badan induk itu masih belum
menjelaskan hutang yang dibuat ketika dia melatih pasukan kebangsaan melayakkan
diri ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980.
Weigang, 63, yang menjadi
jurulatih kebangsaan pada akhir 70-an berjaya membantu skuad negara melayakkan
diri ke temasya tersebut buat kali kedua selepas Sukan Olimpik Munich 1972,
tetapi memulaukannya.
Weigang ketika membuat dakwaan
itu berkata, beliau sudah menunggu terlalu lama untuk mendapat bayaran itu dan
sudah tiba masanya dia mengingatkan mereka.
Jurulatih Jerman yang ketika
ini melatih pasukan Perak baru-baru ini didenda RM8,000 dan dilarang berada di
bangku pemain simpanan untuk satu perlawanan kerana bertindak secara tidak
profesional pada dua perlawanan di Stadium Perak, Ipoh pada perlawanan menentang
Brunei (10 April) dan bertemu Melaka (4 September) .
Menurut Nyim Keong, sebagai
tindakan awal, FAM telah menghubungi dua dari tiga pegawai atasan ketika itu.
''Mengikut Datuk Teoh, dia
tidak ingat mengenai perkara itu sementara Datuk Paul belum ditanya berikutan
keadaan kesihatannya yang terganggu.
Chye Hin yang merupakan ahli
jemputan majlis FAM dan Jawatankuasa Rayuan ketika ini berusia sekitar 80 tahun
sementara Murugesu kira-kira 70 tahun
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SXLrevCV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan