Isnin, 5 Disember 2016

Muhyiddin mahu isu Wai Loon diselesaikan

ARKIB : 25/06/1999
MENTERI Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) dapat mencari penyelesaian terbaik berhubung kedudukan pemain tengah Yap Wai Loon, yang kini menjalani penggantungan enam bulan.

Katanya, sebarang keputusan berhubung pemain tengah kebangsaan itu perlu mencerminkan kepentingan sukan bola sepak negara dan hasrat FAM untuk menubuhkan satu pasukan yang mantap.

''Terpulang kepada FAM dan Safa untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi ia perlu mencerminkan kepentingan sukan negara,'' katanya di Kota Kinabalu, semalam ketika diminta mengulas penggantungan Yap selama enam bulan kerana enggan bermain untuk Sabah dalam enam perlawanan ekoran masalah dengan Safa berhubung gaji.

Penggantungan Yap itu menyebabkan pemain berkenaan hilang kelayakan untuk disenaraikan dalam pasukan kebangsaan.

Jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim sebelum ini merayu Safa menangguhkan hukuman itu sehingga Sukan SEA di Brunei berakhir kerana khidmat pemain itu diperlukan ketika negara berusaha menebus maruah bola sepak pada temasya sukan itu.

Safa bagaimanapun tidak berganjak daripada keputusannya dan menyerahkan kepada Yap sama ada terus menjalani penggantungan atau menamatkan kontraknya dengan Safa.

Muhyiddin turut menyatakan rasa kesalnya dengan insiden penyokong Nepal merusuh dan menyerang pemain negara pada pusingan kelayakan Olimpik 2000 di Stadium Hong Kong, Ahad lepas.

''Saya dukacita dengan apa yang berlaku di Hong Kong dan berharap Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) mengambil tindakan sewajarnya bagi mencegah perbuatan yang menjejas imej sukan bola sepak,'' katanya. - Bernama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Rx7Jy2LD © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan