Ahad, 4 Disember 2016

Olimpik 2000 tidak menduga dapat seri

ARKIB : 16/06/1999
HONG KONG - Seri dengan skuad bola sepak tuan rumah bukan keputusan dicari Malaysia yang lebih ''gemarkan'' kemenangan namun kegigihan pemain memastikan persembahan menarik mampu disajikan skuad negara di Stadium Hong Kong, kelmarin.

Pastinya, jurulatih Hatem Souissi bersama pegawai pasukan Malaysia lega selepas Malaysia memberikan saingan untuk ''mengikat'' keputusan 2-2 selepas ketinggalan dua jaringan.

Aksi pertama skuad negara dalam kejohanan pusingan pertama kelayakan Olimpik 2000 kumpulan enam (Zon Asia) itu sekurang- kurangnya bakal memberi cabaran kepada pasukan handalan, Jepun yang menentang Malaysia hari ini.

Mengenai perlawanan kelmarin, Hatem berkata, Malaysia tidak bernasib baik kerana gagal memperoleh jaringan dalam minit-minit terakhir permainan yang menyaksikan asakan bertali arus skuad negara.

Bagaimanapun, kata beliau, keputusan itu seharusnya diterima kerana Hong Kong memberi tentangan sengit sehingga mampu mendahului 2-0.

''Saya memberikan penghargaan kepada pemain Malaysia yang menunjukkan semangat tinggi, mampu mencari jaringan penyamaan walaupun cuba diberi tekanan oleh Hong Kong,'' kata beliau, kelmarin.

Sementara itu, jurulatih Hong Kong yang berasal dari Brazil, Mior Casemiro memberi pujian kepada pemain skuad Olimpik 2000 negara yang mampu mengatasi tekanan ''anak-anak buahnya.''

''Malaysia jelas begitu bersemangat, inilah sebabnya pemain dapat membuka kembali saingan sehingga berjaya memperoleh gol penyamaan sekalipun ketinggalan 0-2,'' kata beliau.

Menurut Casemiro, beliau tertarik dengan persembahan dua penyerang Malaysia, Muhammad Khalid Jamlus dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang seringkali mencemaskan pertahanan Hong Kong.

Kejayaan Malaysia mengikat Hong Kong 2-2 dan kekalahan tuan rumah 1-2 kepada Nepal Sabtu lalu menghampakan jurulatih itu. - Utusan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Rsm3bYll © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan